Kerjasama ADUN, pihak swasta wujudkan khidmat kaunseling percuma

Admin

BATU UBAN – Pandemik COVID-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi sekalian rakyat, bahkan boleh mengakibatkan tekanan perasaan sesetengah pihak.

 

Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, M. Kumaresan mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan firma VHGLOBAL Sdn. Bhd. bagi menyediakan khidmat kaunseling dinamakan secara percuma yang dikenali sebagai ‘KADUN Batu Uban Mental Stress Counselling Centre’ untuk penduduk lokal.


“Maklumat daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menyatakan dalam lima bulan pertama tahun ini (Januari hingga Mei) terdapat 53 kes bunuh diri di Pulau Pinang.

 

“Selebihnya terdapat 22 kes cubaan membunuh diri seperti terjun kondominium, apartment dan sebagainya.

 

“(Justeru,) kita amat memahami situasi yang sudah berlarutan sejak tahun lepas dengan tekanan ekonomi, kehilangan pendapatan, menjadikan masalah ini lebih meruncing; bahkan memang ada yang datang ke Pusat Khidmat mengadu tentang perkara ini,” ujarnya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat ADUN Batu Uban dekat Taman Pekaka, Sungai Dua pada 6 Ogos 2021.

Hadir sama, Ketua Pegawai Ekskutif  VHGLOBAL Sdn. Bhd., Prof. Emeritus Dr. R. Sureswaran dan Ketua Pegawai Operasi VHGLOBAL Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Asyraf.

 

Menurut Kumaresan, pihaknya memberi peruntukan awalan sejumlah RM10,000 demi menjayakan program tersebut.


Tambah Kumaresan lagi, program tersebut memberi keutamaan kepada penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Uban; manakala bagi individu luar kawasan akan melalui proses saringan mengikut kes.


Sureswaran ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan, beliau terpanggil untuk mengadakan kerjasama tersebut setelah melihat klip video pasangan suami isteri bunuh diri dipercayai akibat tekanan.


“Saya rasa itu bukan cara mengatasi masalah, saya tidak mahu lagi ada di kalangan masyarakat guna jalan pintas ambil nyawa sendiri.


“Ini juga merupakan satu projek CSR (tanggungjawab korporat sosial) kami kepada masyarakat yang menyediakan medium secara bersemuka mahupun panggilan video untuk bercakap dengan pakar kaunseling dan pakar psikologi.

 

“Adakalanya pesakit susah nak ceritakan masalah kepada keluarga dan selesa bercerita dengan orang tidak dikenali,” katanya.

 

Mereka yang memerlukan khidmat kaunseling berkaitan boleh layari www.vhglobal.org, hubungi talian hotline 017-2770388 atau hadir sendiri ke Pusat Khidmat DUN Batu Uban.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD