Kerjasama pintar EmpowerNCER Fasa Kedua suntik pelaburan RM525.3 juta

Admin

GEORGE TOWN – Enam syarikat swasta di negeri ini menyatakan komitmen untuk menyuntik pelaburan bernilai RM525.3 juta melalui jalinan kerjasama pintar dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi program modal insan EmpowerNCER Fasa Kedua yang bakal mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan khususnya kepada golongan terkesan ekoran penularan wabak COVID-19.

Perkara berkaitan diumumkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sidang media sejurus berlangsungnya Majlis Komitmen Pelaburan Negeri Pulau Pinang oleh syarikat-syarikat pelabur dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Menurut beliau, suntikan tersebut dijangka mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan pada tahun ini dan seterusnya.

“Kita (Pulau Pinang) mungkin ada yang kehilangan pekerja akibat wabak COVID-19, tapi dalam masa sama kita mencipta pekerjaan baharu.

“Komitmen pelaburan ini adalah membabitkan enam syarikat swasta iaitu syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan iaitu PTS Industries Sdn. Bhd. dengan pelaburan sebanyak RM2 juta, Clarive Analytics Malaysia Sdn. Bhd. (RM159 juta), Iconic Penang Sdn. Bhd. (RM150 juta), Osram Opto Semiconductors Sdn. Bhd. (RM110.07 juta), UWHM Sdn. Bhd. (RM65.5 juta) dan Coraza Systems Malaysia Sdn. Bhd. (RM38.73 juta) menjadikan keseluruhan pelaburan yang telah dipermudahcarakan oleh NCIA berjumlah RM525.3 juta,” ujarnya pada majlis berkaitan.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Pada majlis sama, surat lantikan turut diserahkan kepada empat Pegawai Daerah membabitkan Daerah Barat Daya (DBD), Daerah Timur Laut (DTL), Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) untuk melaksanakan Program EmpowerNCER Fasa Dua di kawasan masing-masing.

Sebagai rekod, Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah menerima surat lantikan dan telah memulakan program berkenaan di kawasan berkenaan hujung tahun lalu.

Ditanya sama ada pihak Kerajaan Negeri dan NCIA telah mempertimbangkan segala kemungkinan yang bakal berlaku kepada pelaburan baharu berkenaan akibat daripada impak pandemik COVID-19, Kon Yeow dalam responsnya menyatakan bahawa beliau yakin keenam-enam syarikat berkenaan adalah komited berhubung hasrat masing-masing khususnya untuk melabur di negeri ini.

“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Pulau Pinang sebentar tadi pun kita ada membincangkan serta mempertimbangkan Rangka Kerja Strategik Pasca COVID-19 yang mana menurut NCIA sememangnya berlaku penurunan dalam pelaburan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)… dan semua ini telah dipertimbangkan sewajarnya dengan jangkaan bahawa pertumbuhan akan bergerak perlahan.

“Walau bagaimanapun, dengan tindakan yang sewajarnya, ia mampu untuk pulih semula dalam tempoh jangkaan di antara 18 hingga 24 bulan akan datang, dan menjangkakan semuanya akan menjadi normal semula pada tahun 2025.

“Mungkin, jangkaan (tahun 2025) ini juga akan (jadi) lebih lewat lagi dan ia adalah bergantung kepada apakah usaha yang telah kita lakukan dalam situasi pasca COVID-19 kini,” ulasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi negeri.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING