Kes baru COVID-19, penduduk diminta sentiasa patuhi SOP

GEORGE TOWN – Kes COVID-19 membabitkan sebuah pusat perubatan swasta yang tular dekat media sosial semalam direkodkan di bawah statistik negeri Kedah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkara itu telah disahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia) semalam.

“Walau bagaimanapun, orang ramai tidak boleh berpuas hati dalam memerangi wabak ini. Kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) memandangkan jangkitan kes COVID-19 masih lagi berlaku.

“Kerajaan Negeri berharap agar keadaan ini dapat dikawal dengan baik bagi memastikan tiada kes baru yang direkodkan di negeri ini,” ujarnya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media dekat Komtar pagi tadi.

Menurut Kon Yeow, adalah penting bagi orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP bagi membendung peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini.

“Sifat virus ini adalah ia akan merebak kepada orang lain sekiranya seseorang telah dijangkiti. Oleh itu, pematuhan SOP yang ketat adalah sangat diperlukan untuk membendung kes jangkitan ini.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang untuk memantau keadaan semasa.

“Pelan Tindakan Serta-Merta yang dimulakan bersama pihak berkuasa tempatan sejak dua hari lalu juga akan diteruskan,” ulasnya.

Difahamkan, setakat ini, sebanyak 125 kes COVID-19 telah direkodkan di Pulau Pinang dengan mencatatkan satu kematian.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Gambar : LAW SUUN TING