Kes COVID-19 di Pulau Pinang masih terkawal – Ketua Menteri

Admin

Kes COVID-19 di Pulau Pinang masih terkawal – Ketua Menteri

BAGAN DALAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa keadaan kes COVID-19 di negeri ini masih lagi dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata, maklumat terkini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan bahawa jangkitan terbaru kes COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang setakat ini adalaj melibatkan kalangan banduan sahaja.

“Ujian saringan telah dilakukan sepenuhnya pada Ahad (11 Oktober) lalu, dan dalam beberapa hari ini keputusan-keputusan kes positif (COVID-19) akan dapat dikenal pasti.

“Jadi selagi keputusan masih belum disempurnakan maka kita perlu menunggu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perpustakaan Digital Butterworth (BDL) di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud serta Timbalan Pengurus Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

Dalam perkembangan lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa ujian saringan kes COVID-19 turut dijalankan di Penjara Jawi dekat Seberang Perai yang merupakan kluster terbaru dikenal pasti di negeri ini.

“Selepas ujian dijalankan, memang ada kes dicatatkan namun setakat ini kes masih melibatkan banduan sahaja.

“Justeru, kita sedang memantau perkara ini dengan rapi dan berharap agar strategi yang digunakan ini mampu mengekang wabak daripada merebak ke dalam kalangan komuniti,” ulasnya.

Tambah Kon Yeow, ujian saringan kedua juga sedang giat dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang di samping proses sanitasi menyeluruh.

“Adalah penting untuk kita ‘bersihkan’ semua banduan dan petugas yang ada agar mereka tidak dijangkiti,” ujarnya.

Semalam, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM115,984 sebagai bantuan bekalan makanan/minuman kepada kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang serta pasukan-pasukan keselamatan bertugas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 15 Oktober lalu.

Sebagai tambahan, turut diluluskan adalah permohonan peralatan perubatan kritikal oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bernilai RM104,390.

Oleh : SUNARTI YISOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD