Kes denggi terus menurun di Pulau Pinang

Admin
img 20240508 wa0008

GEORGE TOWN – Kes demam denggi yang dilaporkan di negeri Pulau Pinang menurun kepada 13 kes pada hari ketiga Minggu Epidemiologi ke-19 (ME19), dari 5 hingga 7 Mei 2024 berbanding 65 kes pada minggu sebelumnya.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi kenyataan memaklumkan kes kumulatif turut menunjukkan penurunan daripada 1,938 pada Minggu Epidemiologi ke-18 (ME18) kepada 198 kes pada ME19.

“Dua kawasan telah dikenal pasti oleh JKNPP sebagai kawasan hotspot di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu di Kampung Tok Konan sebanyak 12 kes dengan enam kes baharu dan di Taman Nirwana (B) sebanyak sembilan kes.

“Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Taman Segemal; Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Taman Murni Jaya 2 serta Daerah Timur Laut (DTL) di Sun Moon City dan Lintang Pantai Jerejak masing-masing direkodkan sebagai lokaliti Wabak Terkawal (WK) dengan tiada sebarang kes dilaporkan.

“Pangsapuri Ampang Jajar di SPU juga direkodkan sebagai lokaliti WK dengan jumlah kes sebanyak lima kes dengan tiga kes baru,” kata JKNPP menerusi Facebook.

img 20240508 wa0007

Menurut JKNPP lagi, sebanyak dua kes kematian direkodkan pada ME18 membabitkan DTL dan SPS.

Sementara itu, tiada sebarang kes dilaporkan membabitkan wabak chikungunya pada ME18 dan ME19.

Justeru, JKNPP menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes di kawasan perumahan dan premis.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen menyatakan bahawa keadaan semasa wabak denggi di Pulau Pinang semakin menurun setakat 7 Mei 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Pulau Pinang antara empat negeri yang mencatat penurunan kes jika dibandingkan dengan tahun lepas.

“Pemantauan berkala telah dijalankan bagi memastikan kes denggi di negeri ini dapat ditangani secara berkala,” kata Zi Sen.

Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : JKNPP