Kes positif sifar, hasil saringan COVID-19 di asrama pekerja

Admin

PANTAI JEREJAK – Seramai 6,100 pekerja asing telah menjalani saringan COVID-19 di Pulau Pinang dan keputusan didapati negatif dari pandemik berkenaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan dekat Pantai Jerejak di sini bagi melihat sendiri proses penyaringan 138 orang pekerja asing pada 5 Disember 2020.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,000 saringan dijalankan di asrama pekerja asing di Batu Maung; 2,900 di asrama pekerja Bukit Jambul dan 200 saringan di asrama pekerja Bukit Minyak.

“Di Pulau Pinang kita ada 135,490 pekerja asing yang bekerja di pelbagai sektor dan proses saringan untuk COVID-19 masih lagi berjalan.

“(Dan) hari ini (5 Disember) 138 pekerja asing menjalankan saringan di sini dan kita (Kerajaan Negeri) akan terus pastikan semua pekerja warga asing di Pulau Pinang menjalankan saringan seperti disarankan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita.

Jelasnya lagi, saringan tersebut amat penting bagi memastikan Pulau Pinang bebas dari risiko gelombang COVID-19 yang lebih besar dan memastikan semua warga negeri ini mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berharap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat mempertimbangkan pembiayaan kos saringan COVID-19 kepada pekerja yang mencarum.

“Akibat pandemik COVID-19 banyak majikan yang terbeban, kini harus biayai untuk saringan pula dan seperti mana kita tahu kit ujian bukanlah murah.

“Terkini, sebanyak 35 klinik kesihatan diberi kebenaran untuk melakukan saringan dan saya berharap pihak berwajib dapat tampil untuk membantu menyelesaikan perkara tersebut (proses saringan pekerja asing),” tegasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD