Kes sengatan jarang berlaku, pengunjung diminta berwaspada

Admin
whatsapp image 2026 01 07 at 15.36.48

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz tidak bercadang untuk memasang papan tanda amaran di pantai Tanjung Asam dan kawasan sekitarnya susulan insiden seorang kanak-kanak yang dipercayai disengat ikan ketuka pada 3 Januari lalu.

img 7300

Menurut beliau, pemasangan papan tanda amaran dikhuatiri akan menimbulkan rasa takut dalam kalangan orang ramai sekali gus menjejaskan aktiviti riadah di kawasan tersebut.

“Memang ada pihak yang mencadangkan supaya papan tanda amaran dipasang, namun jika ia dilaksanakan, orang ramai mungkin menjadi takut untuk beriadah dan berkelah.

“Apabila jumlah pengunjung berkurangan, kesannya akan turut dirasai oleh penduduk setempat yang menjalankan perniagaan seperti makanan, minuman, hasil laut dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Tanjung Asam, di sini, sebentar tadi.

img 7298

Mengulas mengenai risiko keselamatan, Azrul Mahathir berkata bahawa setiap kawasan pantai sememangnya mempunyai risiko tersendiri dan pengunjung hanya perlu meningkatkan tahap kewaspadaan.

Tambah beliau, sebelum ini juga pernah berlaku kes pengunjung disengat ubur-ubur, namun kejadian tersebut sudah lama berlaku dan sangat jarang terjadi.

“Kes seperti ini sebenarnya jarang berlaku, namun sehingga sekitar bulan Mac, saya menasihatkan pengunjung supaya lebih berhati-hati.

“Nelayan tempatan memaklumkan bahawa ketika ini musim air surut jauh, spesies seperti ikan ketuka masih berada di habitat asal dan tidak mengikut pergerakan air, kemungkinan di kawasan persisir pantai yang berselut kerana terdapat sumber makanan,” jelasnya yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang beriadah di sepanjang persisir pantai Teluk Bayu (Sungai Batu) hingga ke Tanjung Asam agar sentiasa berwaspada terhadap kehadiran spesies laut berbahaya seperti ikan ketuka.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI