Keselamatan, kebersihan, pembentukan sahsiah sediaan awal pendidikan kanak-kanak – ADUN

Admin

BUKIT TAMBUN – Pihak pengurusan tadika swasta perlu letakkan tiga aspek utama iaitu keselamatan, kebersihan dan pembentukan sahsiah dalam menyediakan pendidikan awal kanak-kanak.

 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik perkara tersebut amat penting dalam mencorakkan kanak-kanak tersebut sebagai pelapis generasi masa hadapan.

 

“Keselamatan kanak-kanak perlu diletakkan sebagai nombor satu, iaitu tiada sebarang bentuk penderaan dan yang terbaharu aspek kebersihan mesti dipertingkatkan memandangkan kini coronavirus (Covid-19) sedang melanda dunia.

 

“Kanak-kanak perlu dididik untuk menjaga kebersihan diri dan guru-guru perlu memastikan mereka kerap membasuh tangan selepas melakukan apa-apa aktiviti di tadika.

 

“Bagi pembentukan sahsiah atau akhlak ini ianya perlu dimulakan sejak kecil lagi agar kanak-kanak ini dibentuk menjadi insan yang senantiasa menghormati orang lain dan mempunyai akhlak yang mulia,” ujar Choon Aik ketika berucap merasmikan Hari Sukan Tadika dan Taska (Swasta) seluruh Jawi baru-baru ini.

 

Choon Aik dalam pada itu juga melihat hari sukan berkenaan sebagai medan terbaik mengeratkan silaturahim antara pelajar termasuk ibu bapa itu sendiri.

 

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pengerusi Tadika Swasta Jawi, Khor Huey Ling.

 

Huey Ling ketika bercakap kepada media memberitahu hari sukan berkenaan merupakan julung kali diadakan dan berharap dapat diteruskan lagi pada tahun akan datang.

 

“Ini pertama kali kita anjur harap tahun depan kita boleh buat lagi dan hari sukan ini dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 70 buah tadika seluruh Jawi.

 

Penganjuran pelbagai aktiviti sukaneka melibatkan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang kaum mewarnai kemeriahan hari sukan tersebut.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI