Keselamatan sempadan dan kerjasama dua pihak hadapi sebarang bencana

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi ini menerima kunjungan hormat sulung daripada Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd. Akib Yusof dekat pejabatnya di sini.

 

Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Hizral Kamal Othman Kamal yang mengiringi Mohd. Akib tiba di Komtar bersama-sama Mejar Haril Mohamad (Pegawai Staf 2 Tadbir) dan Leftenan Amrie Jaziki Md. Zin (Pegawai Perhubungan).

 

BRIGEDIER Jeneral Mohd. Akib Yusof (depan) menandatangan buku pelawat di pejabat Ketua Menteri di Komtar.

Difahamkan, Mohd. Akib menerima tugas sebagai Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia yang baru pada 17 Oktober 2021, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Darat.

 

Antara perkara yang dibincangkan pada pertemuan selama 20 minit itu adalah berhubung bidang tugas Briged Keenam Infantri Malaysia dalam mengawasi keselamatan sempadan negara di negeri-negeri Utara Semenanjung, pertahanan, kesiapsiagaan anggota di Markas Briged Keenam Infantri Malaysia dalam menghadapi sebarang kemungkinan atau bencana serta cabaran rentas sempadan dalam mengendalikan isu penyeludupan ketum dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

 

Malah, menurut Mohd. Akid, pihaknya kini juga terlibat dalam lain-lain pengoperasian seperti operasi mengekang penularan COVID-19, membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri serta operasi bersepadu di Kudat, Sabah.

 

KETUA Menteri ketika mengadakan perbincangan bersama-sama delegasi Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia.

Pada pertemuan itu juga, Mohd. Akid turut menyatakan hasrat untuk mentauliahkan Kon Yeow sebagai Penaung (Brigedier Jeneral Kehormat) bagi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang yang dilihat mampu mencetus transformasi dalam menggalakkan penyertaan umum sebagai anggota sukarelawan selain meningkatkan hubungan dua hala dan tahap kecekapan jawatankuasa berkaitan.

 

Dalam pertemuan tersebut, Kon Yeow memaklumkan bahawa pada peringkat Kerajaan Negeri, pihaknya bersama-sama Exco turut membincangkan mengenai struktur dan peranan yang dapat digemblengkan secara strategik bersama-sama anggota keselamatan dalam meningkatkan benteng pertahanan dan keselamatan Pulau Pinang agar kedaulatan kekal terpelihara.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI