Kesesakan LTAPP: tiada alasan, selesaikan segera – Ketua Menteri

Admin
b902cd8c 1854 42b8 bb08 13dd6011f295 KETUA Menteri bersama-sama beberapa pemimpin lain dalam sidang media berkaitan seusai majlis perasmian Nibong Tebal Festival 2026 di sini pada petang tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow meminta isu kesesakan luar biasa di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam ditangani segera tanpa sebarang alasan.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata pentadbirannya mengambil maklum bahawa pertambahan penerbangan secara mendadak serta jadual ketibaan yang terlalu rapat antara punca utama kesesakan di LTAPP.

Pun begitu, tambah beliau, insiden tersebut akan menjejaskan imej negara dan boleh menyebabkan pelancong membatalkan niat ke Pulau Pinang, jika tidak ditangani segera.

“Tiada alasan, lakukan perkara yang patut.

“Masalah ini mesti diatasi segera untuk pulihkan imej dan keyakinan pelancong,” ujarnya seusai menyempurnakan majlis pelancaran edisi ketiga Festival Nibong Tebal (NTF) dekat Jalan Pekan Lama di sini pada 7 Februari 2026.

7c8efcab c15b 42cf b33e 8867b5a314a1
KETUA Menteri (dua dari kanan), Jason H’ng Mooi Lye (dua dari kiri), Fadhlina Sidek (kiri sekali) dan Baderul Amin Abdul Hamid (kanan sekali) merakamkan gambar kenangan di salah satu kiosk foto sempena berlangsungnya Nibong Tebal Festival 2026 di sini sebentar tadi.

Bercakap pada sidang media sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut memberi respons terhadap isu enam murid di Daerah Kota Tinggi, Johor yang disahkan menghidapi Tuberkulosis atau tibi hasil daripada saringan kontak rapat, yang terdiri daripada empat murid lelaki dan perempuan (2).

“Setakat ini, kita akan berpandukan kepada saranan, pedoman dan nasihat daripada KKM (Kementerian Kesihatan).

“Setakat ini, saya dimaklumkan ia terkawal di bawah pemantauan ketat oleh KKM, jadi kami (Kementerian Pendidikan) akan ikut semua arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap ADUN Jawi, Jason H’Ng Mooi Lye dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid turut sertai sidang media itu sebentar tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING