Ketatkan tindakan penguatkuasaan terhadap individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan – KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) supaya mengetatkan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang mengingkari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan demi kepentingan semua pihak di Pulau Pinang.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Komtar tanpa kehadiran pengamal media dan disiarkan secara langsung (live) melalui laman Facebook beliau di https://www.facebook.com/ChowKonYeow jam 3:00 petang tadi.

 

“Semalam (18 Mac), pihak berkuasa tempatan iaitu MBPP dan MBSP telah mengambil pendekatan sederhana terhadap pihak yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan.

 

“Hal ini kerana, berkemungkinan ramai yang tidak tahu ataupun kurang faham ataupun tidak biasa dengan perintah tersebut memandangkan ia hari pertama pelaksanaannya.

 

“Saya juga telah menghadiri sesi taklimat yang diadakan oleh PBT serta mengarahkan MBPP dan MBSP untuk mengetatkan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap mereka atau pihak yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan,” tegasnya.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi menangani penularan wabak COVID-19 secara bersama-sama termasuk makluman pembekalan peralatan perubatan di Hospital Pulau Pinang.

 

“Pagi ini, saya ada menerima hantaran mesej melalui WhatsApp bertajuk ‘Mesej Daripada Doktor di Hospital Pulau Pinang’ dan telah diviralkan.

 

“Saya dimaklumkan oleh Pengarah JKNPP bahawa ia adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

 

Sebagai Ketua Menteri, saya tidak membenarkan rakyat Pulau Pinang terancam oleh wabak ini dengan tidak mengambil tindakan tegas.

 

“Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras bersama-sama seluruh rakyat Pulau Pinang bagi memerangi wabak COVID-19. Penang Lawan COVID-19,” ujarnya.

 

Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan bahawa beliau telah hadir ke Bilik Gerakan COVID-19 Negeri Pulau Pinang di Tingkat 7, Komtar yang mana Special Task Force COVID-19 dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bersiap siaga berkhidmat dalam tempoh 24 jam untuk bersama-sama rakyat di negeri ini bersepakat melawan wabak ini.

 

Malah, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan yang terlibat dalam memastikan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri terus berfungsi.

 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut yang sahih dan tepat, sila layari laman web www.PenangLawanCovid19.com atau www.facebook.com/penanglawancovid19 atau hubungi hotline 04-262 1207 atau 04-262 1819.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Video langsung : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS