Ketua Hakim Negara dahului senarai penerima darjah kebesaran

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Hakim Negara, YAA Dato’ Tengku Maimun Tuan Mat mendahului senarai 877 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dalam sidang media berkata bahawa Tengku Maimun merupakan penerima tunggal bagi Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama.

Sejurus itu, Farizan turut mengumumkan dua penerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) iaitu Ketua Polis Negara, Inspektor Jeneral Dato’ Seri Abdul Hamid Bador dan Jeneral Tan Sri Dato’ Affendi Buang (Panglima Tentera Udara).

Turut tersenarai adalah 12 penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri, DGPN) yang akan membawa gelaran Datuk Seri, manakala 6 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 50 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang masing-masing akan membawa gelaran Dato’.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato’ Paddy Abd. Halim, Dato’ Ar. Rosli Jaafar (mantan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC), Dato’ Lim Cheah Chooi (Presiden Che Hoon Khor Moral Uplifting Society), Dato’ Ahmad Rodzi Pawanteh (Naib Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, PEMENANG) dan Dato’ Khor Ten Haw @ Khor Teng How (Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang) antara yang dikurniakan DGPN.

Manakala, Hakim Utama Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Y.A. Dato’ Hadhariah Syed Ismail, Dato’ Chin Hai Siang (Penasihat Eksekutif Penang Chinese Heng Wah Goldsmiths Employee’s Union), Dato’ Lee Ah Hoe (Jemaah Pengurus Sekolah Han Chiang) dan Datuk Ir. Mansor Musa (Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Bhd.) merupakan antara enam penerima bagi DMPN.

Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang, Norazmi Mohd. Narawi, Muhamad Yusoff Mohd. Noor (Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Dua), Mohd. Bazid Abd. Kahar (Pengurus Besar PDC), Ir. Addnan Mohd. Razali (Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), TPR. Idris Abdul Rahim (Pengarah PLANMalaysia@Pulau Pinang), Dr. T. Jayabalan (mantan ADUN Batu Uban), Prof. Madya Dr. M.P. Sundramoorthy (Ahli Akademik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, USM), Cheok Lay Leng (Pengurus Besar Penang Hill Corporation) dan Prof. Madya Dr. Alif Carr Abdul Karim (Pakar Perunding (Pembedahan Ortopedik) di Hospital Adventist Pulau Pinang) merupakan antara penerima DSPN.

Menurut senarai yang dikeluarkan, tahun ini tiada penerima bagi Pingat Gagah Perwira (PGP) diberikan kepada yang layak.

Seramai 55 penerima akan menerima Darjah Johan Negeri (DJN), 35 (Bintang Cemerlang Negeri, BCN), 89 (Pingat Kelakuan Terpuji, PKT), 278 (Pingat Jasa Kebaktian, PJK), 320 (Pingat Jasa Masyarakat, PJM) dan 29 (Pingat Bakti Setia, PBS).

Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri akan berlangsung di Dewan Sri Pinang mulai esok selama empat hari bermula dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Selain istiadat rasmi berkenaan, pada hari sama akan berlangsung Majlis Jamuan Teh Peringkat Negeri pada sebelah petang dan Majlis Makan Malam Negeri (15 Julai) yang akan turut dihadiri TYT dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Sambutan disusuli dengan Jamuan Teh Peringkat Daerah Seberang Perai (18 Julai); Majlis Jamuan Teh Institusi Kebajikan Peringkat Negeri (25 Julai) dan lawatan ke Hospital Kepala Batas (6 Ogos).

Turut menyertai sidang media berkenaan, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD