Ketua Hakim Syarie harap i-WATCH raih anugerah inovasi peringkat kebangsaan

TELESIDANG oleh kumpulan inovasi TE Surfactant JKSNPP sempena berlangsungnya APIC 2020 Bilik Latihan Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Utara di sini pagi ini.

BERTAM – Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Y.A.A. Tuan Muhammad Abdul Karim Wahab berharap projek inovasi i-WATCH atau ‘Interactive Wakalah Technology Conference’ yang dibangunkan oleh Team Excellence (TE) Surfactant Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang (JKSNPP) meraih anugerah dalam Persidangan dan Ekspo Tahunan Produktiviti dan Inovasi (APIC) 2020 Peringkat Kebangsaan.

Beliau berkata demikian selepas mengikuti sesi telesidang dari Bilik Latihan Mahkamah Rendah Syariah Seberang Perai Utara di sini pagi ini.

Y.A.A. Tuan Muhammad Abdul Karim Wahab

Menurutnya, JKSNPP merupakan satu-satunya agensi di bawah Kerajaan Negeri yang dipilih oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk menyertai pertandingan peringat kebangsaan pada kali ini.

“Saya difahamkan ada 245 kumpulan inovasi daripada sektor awam dan swasta dari seluruh negara menyertai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan yang diadakan secara maya, bermula pada 17 hingga 20 November 2017.

“(Dan) TE Surfactant JKSNPP telah layak ke APIC 2020 berdasarkan pada kejayaan kumpulan inovasi tersebut memperoleh dua anugerah emas dalam pertandingan inovasi sebelum ini, iaitu Mini Konvensyen Team Excellence (MTEx) Wilayah Utara dan yang telah diadakan 22 Jun 2020 dan pertandingan Regional Innovation Showcase on Team Excellent (RISTEX 2020) pada 1 dan 2 September 2020.

“Jadi, saya yakin projek inovasi i-WATCH ini boleh pergi lebih jauh lagi dalam pertandingan APIC 2020 peringkat kebangsaan,” jelasnya kepada Buletin Mutiara pada 18 November 2020.

ANGGOTA kumpulan inovasi TE Surfactant JKSNPP merakamkan gambar bersama-sama Y.A.A. Tuan Muhammad Abdul Karim Wahab (duduk, tiga dari kiri) selepas selesai sesi pagi telesidang APIC 2020 pagi ini.

Turut serta dalam persidangan secara maya tersebut ialah anggota TE Surfactant JKSNPP, iaitu Mohd. Hafiz Idris (Ketua Kumpulan Inovasi); Muaz Marzuki; Abdul Rahman Abdullah; Mohd. Yusri Salleh; Rosnah Masri; Addawiyah Ahmad; Nor Baayah Mohd. Nor dan Siti Aishah Ibrahim.

MOHD. Hafiz Idris

Sementara itu, Mohd. Hafiz yang ditemui kemudiannya menjelaskan bahawa i-WATCH adalah projek inovasi perkhidmatan yang memudahkan dan mempercepatkan proses berwakalah antara peguam syariah dan anak guam mereka, iaitu menerusi proses secara dalam talian.

“Sebelum adanya projek inovasi ini, keberangkalian mereka (pelanggan) mungkin perlu hadir ke mahkamah banyak kali…(iaitu) keadaan pertama, anak guam hadir tetapi peguam tidak hadir; ataupun peguam hadir tetapi anak guam tidak hadir; dan biasanya kali ketiga barulah kedua-dua hadir untuk dibacakan wakalah di depan Pendaftar.

“Maka, dengan adanya i-WATCH ini, kalau satu pihak atau kedua-dua pihak tidak dapat hadir ke mahkamah, wakalah boleh dibuat secara maya dan dalam talian.

“Harapan kumpulan inovasi kami, i-WATCH ini akan memudahkan lagi pelanggan yang datang ke mahkamah terutama dalam proses melantik peguam,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dengan adanya projek inovasi perkhidmatan tersebut, bukan sahaja akan menjimatkan masa dan kos, bahkan akan mempercepatkan proses perbicaraan satu-satu kes di mahkamah.

Selain itu, beliau turut berharap i-WATCH dipilih mewakili negara ke persidangan inovasi peringkat antarabangsa, yang mungkin diadakan sama ada di negara India, Australia atau Indonesia kelak.

Tujuan MPC menganjurkan APIC saban tahun antara lain demi menggalakkan lebih ramai pengamal produktiviti dan kualiti dalam pelbagai bidang dan kepakaran.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB