Ketua Menteri, APMM bincang kes cubaan bunuh diri Jambatan Pulau Pinang

Admin
(Dari kiri) PHEE Boon Poh, Ketua Menteri, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed dan Mohd. Helmi Othman dalam majlis kunjungan hormat yang berlangsung di Bilik Media dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 30 Mei 2022.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri hari ini komited terhadap syor Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk memanggil semua agensi serta jabatan berkaitan bagi mencari penyelesaian bersama dan bersepadu dalam isu peningkatan kes cubaan membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Dalam reaksi spontan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu kepada Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed bahawa pihaknya akan meminta pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya menyegerakan mesyuarat bersama bagi membincangkan isu tersebut.

Exco Kebajikan dan Masyarakat Penyayang, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Timbalan Pengarah Maritim Negeri, Mohd. Helmi Othman dan Misnadi Abdul Karim (Penyelia Operasi merangkap Ketua Unit Komunikasi Korporat APMN Negri) turut serta pada sesi kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri di Bilik Media dekat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 30 Mei 2022.

“Saya akan bincang dengan pihak SUK, bagaimana untuk mencari penyelesaian segera dan menyeluruh (termasuk) cadangan daripada APMM untuk mengadakan mesyuarat dengan melibatkan agensi serta jabatan berkaitan dalam isu berbangkit ini,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Kapten Maritim Abdul Razak Mohamed

Dalam pertemuan selama hampir 15 minit tersebut, Abdul Razak turut membentangkan laporan statistik kes cubaan membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

“Pada tahun 2019, ada lapan kes, diikuti pada tahun 2020 dan 2021 masing-masing ada enam kes dan 12 kes.

“Sehingga bulan Mei tahun ini sahaja, ada lapan kes (cubaan membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang).

“Dengan trend kes yang kian meningkat, APMM bimbang ia akan menjejaskan imej negeri Pulau Pinang,” ulasnya lanjut.

Sebagai menjawab soalan Boon Poh selepas itu, Abdul Razak memberitahu bahawa rata-rata mereka yang cuba membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Pulau Pinang dikenal pasti berpunca daripada masalah kesihatan, kekeluargaan dan isu kewangan.

Akibat daripada trend kes cubaan membunuh diri dengan terjun dari jambatan yang kian meningkat, kata Abdul Razak lagi, operasi penyelamatan di perairan negeri sedikit sebanyak menjejaskan tugas hakiki APMM dalam mencegah penyeludupan dadah melalui pintu sempadan laut antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Razak turut memohon kepada Kon Yeow selaku Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi untuk meluluskan pemberian sebidang tanah berkeluasan sekitar enam ekar untuk pembinaan kompleks dan pengkalan kapal besar APMM sekali gus memudahkan operasi penguatkuasaan di peraian negara dekat Selat Melaka

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN