Ketua Menteri arah JKNPP sedia laporan penilaian risiko harian sepanjang PKP 3.0

Admin
(Dari kiri) AR. Yew Tung Seang, Ketua Menteri, Sahabudin Abdul Manan dan Sr. Rozali Mohamud selepas selesai sidang media berkaitan penjelasan SOP Am PKP 3.0 di Komtar pada tengah hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) diarahkan menyediakan laporan penilaian risiko harian bagi sepanjang 14 hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kali yang ketiga (PKP 3.0) yang bermula pada tengah malam ini (10 Mei 2021).

KETUA Menteri

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa pelaporan itu adalah penting untuk Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Persekutuan bagi menentukan hala tuju pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, sama ada diperketatkan lagi atau disesuaikan dengan keadaan semasa kes harian baharu positif COVID-19 yang lain.

“Saya akan mengarahkan JKNPP untuk menyediakan laporan analisa risiko setiap hari untuk dihantar kepada pihak Kerajaan negeri, kepada MKN Negeri Pulau Pinang untuk dipanjangkan kepada MKN Persekutuan sebagai memantau rapi perubahan yang mungkin berlaku di negeri Pulau Pinang setelah berkuatkuasanya PKP yang diumumkan (semalam).

“Analisa risiko adalah untuk melihat tentang kes-kes yang berlaku setiap hari, kes-kes yang masih aktif, kes-kes yang belum dihantar ke Pusat (Kuarantin dan Rawatan) COVID-19 (PKRC) atau ke hospital, dan meneliti kadar penggunaan kemudahan perubatan (dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam) sebagai melihat keseriusan keadaan di negeri Pulau Pinang.

“Maka, laporan penilaian risiko (yang disediakan oleh JKNPP) ini akan melihat penunjuk-penunjuk (indicators) yang ditetapkan sepanjang fasa (pelaksanaan PKP) ini untuk membolehkan KKM (Kementerian Kesihatan malaysia) memantau dengan rapi.

“Kita harap laporan penilaian risiko (yang disediakan JKNPP) ini dipertimbangkan, sama ada untuk memperketatkan atau… sama ada penyesuaian terhadap SOP perlu dilakukan atau tidak,” jelasnya yang juga Pengerusi Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan COVID-19 di Komtar pada 9 Mei 2021.

SAHABUDIN Abdul Manan

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud turut sertai sidang media berkaitan dengan turut memperincikan SOP Am PKP di beberapa lokaliti di negeri ini.

Sebagaimana diumum oleh Menteri Kanan (Pertahanan) semalam, tiga daerah dan tiga mukim di Pulau Pinang membabitkan Timur Laut, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan; Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth serta Mukim 14, Seberang Perai Utara.

Menjelaskan kepada pemberita pada tengah hari tadi, Sahabudin berkata bahawa Polis Pulau Pinang akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan negeri serta beberapa lokasi ‘laluan tikus’ bagi menyekat pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, hanya 15 Sekatan Jalan Raya (SJR) diwujudkan semasa pelaksanaan PKP Bersyarat di seluruh Pulau Pinang sebelum ini, berbanding 42 SJR akan dilaksanakan bermula tengah malam nanti dengan penglibatan 712 keanggotaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Selain itu, menurut beliau, Polis Pulau Pinang akan juga menggerakkan unit peronda, petugas di pusat kawalan daerah dan badan bertindak tertentu untuk membuat operasi penyamaran bagi memastikan segala SOP berkaitan dipatuhi secara holistik di negeri ini.

“Keseluruhan anggota kontingen (PDRM) Pulau Pinang yang akan terlibat dalam ‘Ops COVID-19’ ini adalah seramai 3,500 orang…beroperasi 24 jam.

“Untuk Hari Raya Aidilfitri ini, kita akan memperketatkan operasi pemeriksaaan di SJR terutama yang masuk ke sempadan negeri Pulau Pinang, dan selepas ‘raya’ kita akan mengetatkan (pemeriksaan) yang keluar dari Pulau Pinang.

“Justeru, kalau mereka ‘terlepas’ semasa masuk (ke sempadan) Pulau Pinang, kemungkinan mereka tidak akan terlepas semasa keluar (dari sempadan negeri ini),” tegasnya sambil memberitahu polis telahpun mengenal pasti lima ‘lorong tikus’ untuk rentas ke negeri ini.

AR. Yew Tung Seang
SR. Rozali Mohamud

Sementara itu, kedua-dua Datuk Bandar turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) turut akan memperketatkan pelaksaaan SOP berwajib terutama di pasar awam, pasar sementara, pasar malam, ‘uptown’, bazar Aidilfitri, pusat asuhan kanak-kanak, tadika, pusat jagaan harian serta sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi terus meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan imunisasi terhadap barisan hadapan ekonomi (economic frontliners) di negeri ini, sungguhpun Menteri berkenaan telahpun menjelaskan mengenai isu kekurangan bekalan vaksin sebagai punca Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tergendala sebelum ini.

Mengakhiri sidang media tersebut, Kon Yeow berharap pelaksanaan PKP buat kali yang ketiga ini (PKP 3.0) akan merosotkan lagi kes positif COVID-19 pada angka dua digit sebagaimana kejayaan PKP pertama pada tahun lepas.

JKNPP dalam laporan penilaian risiko sehingga 8 Mei lepas mendedahkan terdapat 15 kluster aktif di Pulau Pinang iaitu perkilangan (lapan), pendidikan (tiga), sosial (dua), pusat tahanan (satu) dan tapak binaan (satu).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : CHAN KOK KUAN