Ketua Menteri arah PBAPP bentang post-mortem dalam mesyuarat Exco

Admin
KETUA Menteri (kanan) diiringi Soon Lip Chee dalam sidang media berkaitan di Komtar menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah diarahkan untuk membuat post-mortem berhubung isu gangguan bekalan air terawat yang berlaku baru-baru ini serta membentangkan hasilnya dalam mesyuarat Exco akan datang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian semasa diminta menjelaskan mengenai desakan sebuah parti politik supaya PBAPP memberikan rebat sebagai ganti rugi kepada penduduk yang terjejas.

“Saya telah arahkan satu post-mortem dilakukan, dan PBAPP akan membentangkan hasilnya salam mesyuarat Exco yang akan datang,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada sidang media di sini pada 15 Julai 2022.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP memberitahu bahawa agensi negeri tersebut turut terjejas seperti rakyat negeri ini ekoran daripada bencana banjir di Baling, Kedah baru-baru ini.

“Bukan kita (PBAPP) tidak mahu beroperasi, tetapi kita tidak boleh beroperasi kerana kekeruhan air (mentah ke Terusan Sungai Dua) sudah melepasi kemampuan (merawat di Loji (Rawatan Air, LRA Sungai Dua) berkenaan.

“Dan, kesemua 400 warga PBAPP bekerja (secara) bertungkus-lumus sepanjang enam hari untuk memulihkan bekalan (air terawat) secepat mungkin, yang (mana) melibatkan perbelanjaan (bagi tujuan) memobilisasi jentera-jentera, kenderaan dan sebagainya.

“Kalau tiada bekalan air, tiada hasil juga (buat PBAPP).

“Jadi, kita (Kerajaan Negeri dan PBAPP) mengambil maklum cadangan itu, tetapi setakat ini kita tidak bincangkan lagi perkara itu,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS