Ketua Menteri, barisan Exco setuju derma sebulan gaji kepada Tabung COVID-19 Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Barisan Exco Kerajaan Negeri termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang bersetuju mendermakan satu bulan gaji kepada Tabung COVID-19 Pulau Pinang.

Keputusan itu sekaligus mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk bersama-sama membantu mengurangkan kesan akibat penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook @ChowKonYeow tengah hari ini.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan penubuhan Tabung COVID-19 Pulau Pinang setelah menerima banyak tawaran untuk menghulurkan sumbangan daripada pihak swasta.
(Rujuk pautan berkaitan: https://www.facebook.com/penanglawancovid19/posts/110614290582378)

Terdahulu, dalam sidang media hari ini, Kon Yeow memaklumkan hasil perbincangan bersama-sama Ketua Polis Negeri dan Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pulau Pinang yang diadakan pada pagi ini.

Antaranya, kadar pematuhan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

“Ketua Polis Pulau Pinang memaklumkan bahawa kadar pematuhan PKP di negeri ini telah mencapai 94 peratus, terima kasih semua (kerana mematuhi perintah).

Kita perlu lebih komited untuk mencapai kadar 100 peratus dan menjadi yang terbaik di seluruh negara,” seru Kon Yeow yang yakin dengan kerjasama semua rakyat Pulau Pinang dalam mematuhi PKP yang memasuki hari ke-sepuluh hari ini.

Meskipun kawalan di bawah PKP akan diperketatkan di setiap daerah di negeri ini bagi mencapai kadar pematuhan yang lebih berkesan, namun ia bukan untuk membebani rakyat.

Tidak menjadi niat Kerajaan Negeri dan pihak penguat kuasa untuk membebankan rakyat, sebaliknya kita semua perlu sepakat dan berganding bahu dalam memastikan kita ‘menang’ dalam ‘peperangan’ (melawan COVID-19).

“Kerajaan Negeri dan pihak penguat kuasa akan memastikan bekalan makanan tidak akan terputus dan sekali lagi saya tekankan bahawa semua rakyat Pulau Pinang diseru untuk terus memberikan kerjasama,” tegasnya.

 

Struktur semula sistem pengagihan makanan dan barangan keperluan asas

Menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri kini sedang mengaturkan sistem pengagihan makanan dan barangan keperluan asas kepada isi rumah yang memerlukan bantuan di negeri ini.

Tujuan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif ini adalah bagi mengurangkan pergerakan agihan yang tidak tersusun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Kita (Kerajaan Negeri) juga tidak ingin individu yang terlibat dengan kerja-kerja pengagihan ini terdedah dengan wabak ini tanpa perlindungan yang betul.

“(Dan) pastinya ia akan mengelakkan pembaziran bekalan makanan serta keperluan asas akibat sistem pengagihan yang tidak terancang dan efisien,” jelasnya sambil menzahirkan penghargaan kepada wakil-wakil rakyat setempat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini melaksanakan kerja-kerja pengagihan berkaitan.

Dalam masa sama, Kon Yeow turut memohon agar NGO serta badan-badan kebajikan lain merancang dengan baik sumber dan tenaga yang ada sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

“Selepas 14 April ini, Kerajaan Negeri masih memerlukan perkhidmatan anda untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada rakyat Pulau Pinang.

“(Dan) bersama-sama membangunkan semula negeri yang kita cintai,” katanya yang berharap agar semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing serta teruskan bersabar dan mematuhi arahan sepanjang tempoh PKP ini demi keselamatan semua.

 

Bantuan kepada masjid dan surau untuk nyah kuman

Menjawab pertikaian sesetengah pihak berhubung bantuan RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau di Pulau Pinang di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, Kon Yeow berkata bahawa pemberian tersebut bertujuan untuk kerja-kerja pembasmian serta pembersihan (nyah kuman).

“Memandangkan kemungkinan terdapat infeksi daripada jemaah kluster (tabligh) Sri Petaling, maka bantuan tersebut diberikan.

“Saya yakin bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini akan faham situasi ini.

Jangan sesekali biarkan pihak tidak bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan agama dalam keadaan kritikal ini,” serunya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, bagi institusi bukan Islam yang memerlukan bantuan pembersihan sedemikian, mereka boleh membuat permohonan melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing ataupun melalui Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Kerajaan Negeri.

 

Isu gelandangan di Terminal Bas Komtar

Menyentuh isu gelandangan yang ‘berkeliaran’ di sekitar Terminal Bas Komtar, Kon Yeow memberitahu bahawa pihakya memandang serius isu tersebut dan sedang merangka pendekatan khas pada kadar segera.

 

Perkhidmatan penyelenggaraan pendawaian dan paip

Disoal sama ada kedai atau individu yang menawarkan perkhidmatan pembaikan dan penyelanggaraan pendawaian (elektrik) serta paip masih boleh beroperasi sepanjang PKP, Kon Yeow memberitahu bahawa perkhidmatan tersebut adalah berdasarkan kes-kes berasingan.

“Hasil perbincangan pagi ini, Ketua Polis Negeri menyatakan adalah berasaskan kes-kes berasingan (yang mana) pihak berkaitan (terjejas) boleh memaklumkannya kepada balai polis berhampiran sekiranya perkhidmatan sedemikian diperlukan,” responsnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut mengumumkan sumbangan daripada Kwong Wah Yit Poh sebanyak RM500,000 ke Tabung Covid-19 Pulau Pinang hari ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG
Video : CHAN KOK KUAN