Ketua Menteri bawa intipati PSERCC ke peringkat Pusat

GEORGE TOWN – Pengerusi Penang Socio Economic Recovery Consultative Council (PSERCC), Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memohon pengerusi bagi setiap jawatankuasa kerja kepada enam sektor utama supaya merumuskan keperluan-keperluan utama untuk dibawa ke peringkat Kerajaan Pusat.

 

Menurut Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau akan cuba membahaskan semua kepentingan berkaitan pada sesi perbahasan di Parlimen yang kini sedang bersidang.

 

Saya minta urus setia supaya menyediakan ucapan perbahasan untuk tempoh 20 minit bagi mengetengahkan semua kepentingan membabitkan jawatankuasa kerja kepada enam sektor utama untuk perhatian khas Kerajaan Pusat.

“Pengerusi kepada enam sektor utama ini iaitu industri/IKS (Industri Kecil dan Sederhana/PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana)/peruncitan; pasaran tenaga kerja; perumahan; infrastruktur dan pengangkutan; pelancongan serta industri makanan adalah diminta merumuskan fakta-fakta utama bagi membolehkan kita memperoleh maklum balas daripada Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat serta pembangunan negeri ini secara menyeluruh khususnya dalam mendepani pasca pandemik COVID-19 ini,’’ katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat PSERCC Ketiga di sini petang tadi.

KETUA Menteri ketika mempengerusikan mesyuarat berkaitan di Komtar dekat sini.

Hadir sama adalah pengerusi-pengerusi jawatankuasa kerja kepada enam sektor utama yang mana jawatankuasa Sektor Industri SMI/SME/Peruncitan yang dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Halim Hussain; Sektor Pasaran Tenaga Kerja, Prof. Dr. P. Ramasamy; Sektor Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Sektor Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Sektor Pelancongan, Yeoh Soon Hin dan Sektor Industri Makanan, Dr. Norlela Ariffin.

 

Selain barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, pakar-pakar industri yang turut dilantik ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA), Datuk Seri Jebasingan Issace John; Pengarah investPenang merangkap Penasihat Pelaburan kepada Ketua Menteri, Dato’ Seri Lee Kah Choon; Ahli Lembaga Pengarah Penang Science Cluster & Penang Tech Centre, Datuk Seri Wong Siew Hai; Pengerusi Penang Port Sdn. Bhd., Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza; Pengerusi Real Estate and Housing Developers’ Association (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong; Pengerusi Malaysian Association of Hotel (Penang Chapter), Khoo Boo Lim; Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Tony Yeoh; Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar dan Pengarah Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr. Ooi Kee Beng.

 

Selain perhatian khas terhadap pelaksanaan 18 projek utama Sektor Infrastruktur dan Pengangkutan yang dibentangkan oleh Zairil, Sektor Pasaran Tenaga Kerja turut menjadi salah satu isu utama dibincangkan yang mana selain melibatkan pekerja tempatan, turut terlibat adalah pekerja asing yang turut memberi impak secara langsung kepada sektor antaranya pembuatan, elektrik dan elektronik (E&E), perhotelan, penerbangan, perumahan dan lain-lain.

 

Pengerusi jawatankuasanya, Prof. Dr. P. Ramasamy menyatakan bahawa antara strategi jangka masa pendek yang diambil adalah memperkasakan peranan Penang Career Assistance and Talent (CAT) Centre (Penang CAT Centre) dengan penganjuran Career Exploration Week: My Penang, My Workplace bagi berkongsi peluang-peluang perkerjaan ditawarkan.

 

 

“Syarikat memainkan peranan penting dalam mendaftarkan pekerja yang kehilangan kerja atau yang akan diberhentikan di sistem Penang CAT Centre atau Jabatan Tenaga Kerja bagi membolehkan golongan ini dibantu.

“Selain itu, turut dirangka adalah strategi program peningkatan kemahiran pekerja menerusi latihan semula serta peningkatan kemahiran (re-skilling and upskilling) menerusi agensi-agensi seperti Penang Skills Development Centre (PSDC) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA),” ujarnya.
Dalam pada itu, Jebasingan menyatakan bahawa menerusi pelaksanaan program JomKerja@NCER, sebanyak 34 syarikat dengan jumlah 1,122 peluang pekerjaan telah berada di dalam senarai. Malah, menerusi program JomNiaga@NCER, ia adalah membabitkan 27 syarikat dengan 257 pekerjaan.
DATUK Seri Jebasingan Issace John.

Sementara itu, Pengerusi Sektor Industri SMI/SME/Peruncitan, Abdul Halim memberitahu bahawa sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 123 Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan 1,525 buah Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) telah berjaya memperoleh bantuan menerusi Skim PEKA PKS dengan jumlah peruntukan RM28.7 juta.

 

 

Dalam usaha menempuh impak pasca COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil inisiatif jangka panjang khas dengan PSERCC dengan dipengerusikan Kon Yeow.

 

 

PSERCC adalah terbahagi kepada empat fungsi utama iaitu, mengenal pasti isu ekonomi semasa; mengenal pasti isu dan cabaran yang menghalang pertumbuhan ekonomi; merangka strategi jangka pendek serta sederhana dan juga memastikan semua keputusan dilaksanakan dengan segera. Malah, struktur jawatankuasa kerja adalah terbahagi kepada enam sektor utama sebagaimana disenaraikan sebelum ini.

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI