Ketua Menteri beri bayangan Umno Pulau Pinang mungkin tanding lebih dua kerusi

Admin

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini seakan memberi bayangan bahawa Barisan Nasional (BN) terutama Umno bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang yang kian kunjung tiba mungkin akan bertanding lebih daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 menyaksikan Umno memenangi dua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua dan Permatang Berangan.

Maka, beliau berkata bahawa secara umum bersempena PRN nanti, Umno dan BN atas semangat Kerajaan Perpaduan mempunyai ‘ruang’ dan berpeluang untuk berunding serta bertanding di kerusi-kerusi yang dimenangi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini.

“Mengikuti prinsip asal yang dipersetujui bersama, parti yang menyandang kerusi (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN) akan bertanding dan mempertahankan kerusi masing-masing.

“Tetapi (BN terutama Umno) ada ruang (untuk bertanding lebih daripada dua kerusi ADUN) yang mana ada kerusi-kerusi tertentu sebelum ini dimenangi oleh pihak lain (pembangkang).

“Kerusi PAS dan ‘Bersatu’ (Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM), saya rasa (Umno) akan bertanding lebih daripada apa yang disandang sebelum ini (iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan),” ujarnya kepada pemberita seusai menyempurnakan Majlis Pelancaran Penang SEED (Penang Strategy for Economic Ecosystem Development) di sini pada 12 Jun 2023.

Baru-baru ini, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya bercadang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 28 Jun 2023 bagi membolehkan proses pelaksanaan PRN.

Ekoran itu, khabar angin kian bertiup kencang konon-kononnya dwigabungan parti politik PH dan BN saling bersetuju untuk memberi laluan kepada Umno untuk bertanding lima atau enam kerusi termasuk Bertam, Sungai Acheh dan Teluk Bahang.

Tegas Kon Yeow menjelang tengah hari tadi, dwigabungan parti politik tersebut sebelum ini telah mengadakan beberapa kali perbincangan berkaitan pengagihan kerusi ADUN, namun biarlah pengumuman rasmi dimuktamadkan serta dibuat oleh pemimpin berwajib peringkat nasional kelak.