Ketua Menteri bidas tindakan empat ADUN PPBM boikot sesi libat urus

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow membidas tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana memboikot Sesi Libat Urus Antara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama ADUN Pulau Pinang pagi tadi.

Beliau berkata, sesi libat urus tersebut diadakan adalah bagi memastikan prinsip semak dan imbang dapat dilaksanakan dalam tampuk pentadbiran sedia ada berikutan penggantungan Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pengisytiharan darurat.

Mereka yang terlibat adalah ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; ADUN Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim serta ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq.

“Alasan yang dibangkitkan oleh ADUN-ADUN PPBM adalah kerana peruntukan mereka ditarik balik oleh Kerajaan Negeri.

“Adalah ditegaskan bahawa peruntukan bagi empat kawasan tersebut tidak kurang satu walau satu sen pun, dan rakyat masih boleh boleh menikmati peruntukan berkaitan melalui ADUN-ADUN angkat,” katanya pada sidang media semasa sesi libat urus berkaitan di sini pagi tadi.

Tiga ADUN pembangkang yang hadir pada sesi libat urus anjuran Kerajaan Negeri hari ini.

Kon Yeow dalam pada itu, menegaskan bahawa walaupun Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) tersebut kini dipegang oleh pembangkang namun pengundi di sana tidak mengkhianati sokongan terhadap Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

“Sebenarnya pengundi di empat KADUN berkenaan tidak dianiaya, sebaliknya terus mendapat jumlah peruntukan sama dengan ADUN kerajaan kerana mereka telah memilih calon PH dalam Pilihanraya Umum (PRU) 2018.

“Sebaliknya, keempat-empat ADUN di kawasan itu telah mengkhianati amanah serta kepercayaan pengundi yang memilih mereka bertanding di bawah gabungan PH,” tegasnya.

Mengulas lanjut Kon Yeow memberitahu bahawa empat ADUN berkaitan sebenarnya turut menerima peruntukan daripada Kerajaan Perikatan Nasional untuk membangunkan kawasan masing-masing.

“Jadi, sepatutnya mereka boleh hadir, meneruskan tugas sebagai wakil rakyat, menyuarakan masalah rakyat, membidas kita, mengkritik kita, kerana itu memang amalan demokrasi berparlimen.

“Sebaliknya, mereka pilih cara yang senang, boikot tidak mahu hadir, itulah tingkah laku ADUN yang mengkhianati pengundi mereka,” katanya.

Tambah Kon Yeow, bagi KADUN yang memilih pembangkang sebagai wakil rakyat iaitu Pematang Berangan, Sungai Dua dan Penaga, pengundi masih menerima peruntukan sama ekoran dasar Kerajaan Negeri yang tidak sama sekali menghukum rakyat.

Terdahulu, keempat-empat ADUN daripada PPBM dalam kenyataan berkata bahawa mereka memboikot sesi libat urus Ahli Exco bersama ADUN Pulau Pinang pada 29 dan 30 Mac 2021.

Semua mereka mendakwa bahawa langkah itu diambil setelah Kerajaan Negeri menarik balik peruntukan sebanyak RM60,000 terhadap mereka.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD / AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN