Ketua Menteri harap fasiliti Arena Butterworth tarik minat penganjur acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa

Admin
RUANG legar dalam bangunan Arena Butterworth di sini.

BAGAN JERMAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Arena Butterworth yang dijangka mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada bulan Ogos atau September ini bakal menarik minat pihak penganjur acara peringkat kebangsaan serta antarabangsa kelak.

CHOW Kon Yeow

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian selepas melawat tapak projek Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bernilai RM59 juta yang hampir siap dekat Ampang Jajar di sini.

“Kita juga akan melihat ke depan untuk penganjuran acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa di sini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong kepada pemberita pada 12 Mac 2022.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga ADUN Pinang Tunggal; ADUN Bagan Jermal, Soon Lip Chee yang juga Exco Belia dan Sukan; Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad dan Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi.

ANTARA pemimpin Kerajaan Negeri yang menyertai lawatan tapak projek Arena Butterworth bersama-sama Ketua Menteri di sini pada pagi tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa proses permohonan bagi cadangan (RFP) untuk menyelia semua kemudahan Arena Butterworth sudah dibuka pada 15 Februari lepas kepada mana-mana firma yang berminat, dan akan tamat 21 Mac depan.

Daripada 38 ekar tanah keseluruhannya, difahamkan, tapak projek pemajuan yang dilaksanakan oleh PDC setakat ini hanya 16.76 ekar termasuk 8.3 ekar ruang dewan bankuet serta parkir pelbagai jenis kenderaan.

Memenuhi reka bentuk sejagat, tiga sub dewan yang boleh disuai ubah menjadi sebuah dewan bankuet besar mampu memuatkan kapasiti 300 meja jamuan atau 3,000 orang pada satu-satu masa.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : DARWINA MOHD. DAUD