BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN pada minggu depan akan memperbaiki naratif rundingan yang telah dicapai sebelum ini, iaitu 19 peratus kadar tarif import untuk Malaysia.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa beliau percaya penganjuran Dialog Tahunan Dewan Perniagaan Amerika – Malaysia (AMCHAM) Cawangan Pulau Pinang 2025 pada hari ini pun sedikit sebanyak akan memberi gambaran peri penting syarikat multinasional (MMC) dari Amerika Syarikat di negeri ini.
“Kita (Pulau Pinang) harap ada penyelesaian baik daripada segi memeterai perjanjian berhubung dengan tarif (import) yang dikenakan terhadap Malaysia.
“(Dalam proses rundingan tarif sebelum ini) saya lihat Malaysia telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyampaikan pendirian bahawa negara (Malaysia) sebenarnya rakan karib kepada Amerika Syarikat (yang mana) syarikat-syarikat MMC di sini (iaitu Malaysia terutama Pulau Pinang) adalah rantaian bekalan kepada Amerika Syarikat.
“Maka, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) berharap naratif-naratif positif ini akan dapat meyakinkan AS bahawa kita boleh mencapai situasi menang-memang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan kepada pemberita di sini pada 16 Oktober 2025.
Sebelum itu, Kon Yeow menyampaikan ucapan dalam Dialog Tahunan AMCHAM Pulau Pinang 2025 di sini.
Pengerusi AMCHAM Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif START, Datuk Tim Garland dan Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Malaysia, Dato’ Siobhan Das turut sertai majlis dialog tersebut.
Terdahulu, dilaporkan Malaysia dikenakan tarif 19 peratus berkuat kuasa pada 31 Julai 2025, susulan Putrajaya memperbaiki naratif rundingan dengan Rumah Putih. Sebelum itu, Trump menetapkan tarif import 25 peratus untuk Malaysia.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD