Ketua Menteri harap Kerajaan Negeri, komuniti dan ATM dapat berkolaborasi, gembleng tenaga demi kemajuan negara

 

BATU MAUNG – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berharap Kerajaan Negeri, komuniti dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dapat berkolaborasi serta menggembleng tenaga demi kemajuan negara.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong ke Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Div) Kem Tun Razak, Bayan Lepas di sini pagi ini.

“Selepas ini, 2 Divisyen akan juga mengatur taklimat yang sama kepada barisan Exco supaya Kerajaan Negeri faham tentang isu-isu dalam negeri kita sendiri, setakat mana kita boleh bekerjasama untuk menangani isu-isu tertentu terutamnya keselamatan.

“Sungguhpun Pulau Pinang tidak menghadapi ‘peperangan’, tetapi dalam masa aman pun peranan ATM tetap ada dan kita ucapkan terima kasih kepada angkatan tentera kerana walaupun aman, mereka tetap menjalankan tugas setiap hari untuk menjaga keamanan negara serta negeri Pulau Pinang khususnya,” ujar beliau dalam satu sidang media ringkas pada lawatan berkenaan.

Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail; Komander Artileri Divisyen 2 Divisyen, Brigedier Jeneral Mohd. Rawa Seman serta pegawai-pegawai kanan naungan 2 Divisyen.

Dalam taklimat tertutup kira-kira 30 minit, perbincangan tiga hala antara Kerajaan Negeri, Kementerian Pertahanan dan ATM menyentuh mengenai isu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Pulau Pinang, aspek bencana serta jalinan bersama-sama komuniti.

“Bagi kemudahan asas, mungkin Kerajaan Negeri boleh lihat bagaimana kita (Kerajaan Negeri) boleh bantu menyediakan tempat permainan (rekreasi) dan sebagainya.

“Serentak itu, kita (Kerajaan Negeri) juga berasa lega apabila Kementerian juga sedang mengatasi isu (perumahan RKAT) sedemikian,” kata Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Mengulas mengenai isu RKAT, Chin Tong menyatakan bahawa pihak Kementeriannya kini mengatur strategi tindakan untuk membaiki unit-unit yang rosak membabitkan seluruh negara.

“Kalau nak bina baru kos memang tinggi, lebih baik kita tinjau balik unit-unit bawah pegangan kita, bagaimana boleh baiki dan jadikan ia macam baru,” jelas beliau.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : CHAN KOK KUAN