Ketua Menteri harap MCW dapat berfungsi sebagai sebuah badan berwibawa terhadap isu integriti, korupsi serta penyelewengan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebentar tadi menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) dan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dekat pejabatnya di sini.

Delegasi yang terdiri daripada 10 wakil dengan diketuai Pengerusi Yayasan GPMS merangkap Presiden MCW, Jais Abdul Karim tiba kira-kira jam 6.15 petang tadi.

Turut serta, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng.

Pada pertemuan sulung berkenaan, selain menyampaikan harapan rakyat kepada kepemimpinan tertinggi negeri, Jais turut memberikan penerangan berhubung fungsi dan peranan MCW yang baharu ditubuhkan pada 1 Julai 2017.

Menurut beliau, MCW merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai pemerhati dan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung gejala rasuah.

Kon Yeow dalam responsnya berharap supaya MCW dapat berfungsi sebagai sebuah badan yang berwibawa terhadap isu integriti, korupsi dan penyelewengan.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap badan tersebut juga bersikap berani untuk menyuarakan apa jua salah laku dan perlanggaran etika yang berlaku di negara ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD