Ketua Menteri harap penubuhan MTPNG seragamkan projek infrastruktur Pusat, negeri di Pulau Pinang

Admin
KETUA Menteri (tengah) menerima dua naskah Arahan berkaitan penubuhan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (MTPNG) daripada Azman Ibrahim (kiri) dan Mohamed Rafizal Mohd. Eusoff (kanan) semasa kunjungan hormat di Pejabat Ketua Menteri, Komtar pada 26 Januari 2023.

GEORGE TOWN – Langkah pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 menubuhkan semula Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (MTPNG) dapat menyeragamkan semua cadangan pelaksanaan projek infrastruktur awam berkaitan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, Datuk Azman Ibrahim dan Ketua Penolong Pengarah ICU JPM Pulau Pinang, Mohamed Rafizal Mohd. Eusoff di pejabatnya dekat Komtar di sini pada 26 Januari 2023.

“(Penubuhan MTPNG) ini berlaku apabila Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan di bawah satu ‘payung’ yang sama.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Datuk Azman, memang ada banyak keperluan, daripada segi projek infrastruktur khususnya (yang mana menerusi MTPNG ini) kita akan selaras dan seragamkan di seluruh negeri (dengan penglibatan) jabatan-jabatan berkenaan untuk membentangkan suatu ‘kes’ yang kukuh, untuk pertimbangan serta kelulusan peringkat Kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi Perdana Menteri sendiri berasal dari negeri Pulau Pinang.

“Mungkin (MTPNG) ini suatu saluran baharu untuk keperluan negeri Pulau Pinang melibatkan semua peringkat Kerajaan (iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan); jabatan Persekutuan di negeri dan jabatan negeri di negeri; jabatan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT), semua boleh melalui saluran (MTPNG) ini,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Menurut Kon Yeow, segala projek infrastruktur yang dilaksanakan telah membawa limpahan pembangunan, dan Pulau Pinang yang kian pesat membangun kini sudah tentu memerlukan projek infrastruktur lanjutan lain daripada pihak Kerajaan Persekutuan hari ini.

Tambah beliau, projek infrastruktur lanjutan lain yang diperlukan bagi menampung kepesatan pembangunan di negeri Pulau Pinang termasuk Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas dan cadangan pelaksanaan beberapa projek pintasan lebuh raya.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada pihak ICU JPM kerana melantiknya sekali lagi sebagai pengerusi MTPNG.

“Selepas PRU14 pada tahun 2018, saya pernah juga dilantik sebagai pengerusi MTPNG selama 22 bulan dan sempat beberapa kali mengadakan mesyuarat, kerana pada waktu itu Pakatan Harapan memerintah Kerajaan Persekutuan.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), saya sekali lagi dijemput menjadi pengerusi majlis (MTPNG) ini,” ujarya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sebelum itu, Azman turut memberi taklimat mengenai tujuan penubuhan MTPNG, carta organisasi serta cadangan keanggotaan majlis itu dengan kekerapan mesyuarat empat kali dalam setahun.

“Saya mencadangkan kepada Y.A.B. Ketua Menteri untuk mesyuarat MTPNG ini diadakan selepas pembentangan Bajet (Persekutuan 2023 yang dijadualkan pada hujung bulan Februari ini),” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kerana menerima kunjungan hormat kedua-dua mereka tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR