Ketua Menteri harap Pusat bantu realisasikan Jajaran Rel George Town – Butterworth

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata pihaknya turut berharap Kerajaan Persekutuan baharu dapat membantu Kerajaan Negeri bagi mewujudkan Jajaran Rel George Town – Butterworth demi merosotkan lambakan kenderaan setiap hari di Jambatan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa projek baharu itu merupakan satu lagi komponen projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

“Kerajaan Negeri amat berharap agar Kerajaan Persekutuan baharu kelak dapat membantu dan memudahkan pelaksanaan projek-projek yang telah lama dirancang ini,” jelasnya semasa sesi penggulungan Exco dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 24 November 2022.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut berharap Kerajaan Persekutuan baharu supaya membantu Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa komponen projek lain di bawah PTMP seperti Pan Island Link 1 (PIL 1) dan Transit Aliran Ringan Bayan Lepas (BLLRT).

“Kerajaan Negeri akan menyusuli semula kepada Kerajaan Persekutuan yang baharu bagi projek-projek infrastruktur kritikal ini bagi memastikan projek-projek ini dapat dilaksanakan segera,” ujarnya.

Dalam persidangan petang ini, Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimasyhurkan sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & LAW SUUN TING
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI