BUKIT TAMBUN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai komitmen pelbagai pihak termasuk pertubuhan masyarakat, sektor swasta dan institusi kerajaan dalam memperkukuh agenda pendidikan inklusif, khususnya bagi murid berkeperluan khas.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kerjasama rentas sektor berkenaan membuktikan bahawa usaha menyediakan pendidikan berkualiti dan saksama memerlukan penglibatan seluruh ekosistem masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa mendokong matlamat ‘Pendidikan Inklusif, Saksama dan Berkualiti’ dengan keyakinan bahawa setiap anak mempunyai potensi tersendiri tanpa mengira latar belakang mahupun keupayaan.
“Setiap anak mempunyai potensi tersendiri yang perlu kita bantu untuk digali dan digilap.
“Kehadiran kelas Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) pada hari ini bukan sekadar penambahbaikan fizikal bilik darjah, tetapi satu anjakan pendekatan pendidikan bagi memastikan anak-anak Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, inklusif dan bersesuaian dengan tuntutan semasa,” katanya ketika merasmikan Program Rintis PAK21 bagi Murid PPKI Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM), YABhg. Puan Tan Lean Kee; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Muhamad Dziauddin Mat Saad; Pengerusi Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Ooi Eng Hock, Pengetua SMK Batu Kawan, Shamsul Fairuz Mohd. Nor; guru-guru serta barisan penaja.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa dalam usaha membina sebuah negeri pintar yang inklusif, tiada mana-mana pelajar wajar tercicir daripada arus perubahan teknologi.
Tambah beliau, pendekatan PAK21 bukan hanya memberi penekanan terhadap pencapaian akademik, malah membangunkan kemahiran komunikasi, kolaborasi, kreativiti dan pemikiran kritikal.
“Bagi anak-anak PPKI, kemahiran ini perlu diterapkan mengikut keupayaan masing-masing supaya mereka lebih yakin, berdikari dan mampu berinteraksi dengan dunia luar.
“Ini selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 untuk membangunkan sebuah negeri pintar dan hijau yang berteraskan keluarga serta inklusif untuk semua,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada JPNPP, PWM, Pertubuhan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang serta rakan-rakan strategik dan penaja yang tampil menjayakan inisiatif berkenaan.

“Saya bersyukur kerana di Pulau Pinang terdapat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan institusi kerajaan yang sudi bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada para penaja atas inisiatif ini,” ulasnya lanjut.
Sementara itu, Lean Kee memberitahu bahawa kerjasama tersebut menjadi contoh bagaimana kerajaan, pertubuhan masyarakat dan sektor swasta dapat berganding bahu menghasilkan impak lebih besar kepada masyarakat.

Katanya, PWM amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada usaha murni berkenaan menerusi sokongan dan tajaan pelaksanaan projek bersama rakan-rakan strategik.
“Inklusiviti bukan sekadar menyediakan bilik darjah untuk murid berkeperluan khas.
“Inklusiviti bermaksud memastikan mereka benar-benar diterima, dihargai dan diberi peluang yang sama untuk belajar, berkembang serta mencapai potensi mereka.
“Pendidikan perlu melihat potensi, bukan kekurangan, membuka peluang, bukan membina batasan,” jelas beliau.
Lean Kee turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang disifatkannya sebagai tunjang penting dalam memastikan pelaksanaan PAK21 bagi murid PPKI dapat memberi impak bermakna.
Dalam pada itu, Muhamad Dziauddin berkata, inisiatif ICT berkenaan dilaksanakan di tiga bilik darjah PPKI masing-masing di SMK Batu Kawan, SMK Westland dan SK Bakar Indah.

Menurut beliau, kemudahan tersebut bertujuan mendedahkan murid kepada dunia digital, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi keperluan kerjaya masa hadapan.
“Konsep Treatment and Education of Autistic and Related Communication-Handicapped Children (TEACCH) turut digunakan dalam menaik taraf bilik darjah bagi meningkatkan keselesaan dan keberkesanan pembelajaran murid,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan inisiatif itu turut mendapat sokongan Persatuan Kebajikan 88 Kapten Pulau Pinang dan beberapa agensi lain menerusi penyediaan fasiliti serta kemudahan berkaitan.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhamad Dziauddin menyatakan bahawa sebanyak 142 bilik darjah telah dinaik taraf menerusi inisiatif MAKERLAB setakat ini.
Selain itu, tambah beliau, sebanyak 398 sekolah dilaporkan mempunyai kemudahan smart board, manakala sokongan infrastruktur seperti talian fiber dan kemudahan internet terus diperkasa bagi menyokong penggunaan ICT dalam proses pembelajaran.
Beliau memberitahu, kerajaan turut menyediakan lima set kelas hibrid, selain memperluas penerapan PAK21 menerusi kelas yang dilengkapi kemudahan internet dan papan pintar.
“Pelbagai agensi turut memainkan peranan dalam menaik taraf bilik darjah di sekolah-sekolah lain, termasuk sekolah rendah dan SMK Sri Bayu.
“Keseluruhan usaha ini memperlihatkan komitmen berterusan untuk memastikan transformasi pendidikan digital dapat dinikmati semua murid, termasuk murid berkeperluan khas,” ujarnya lanjut.





Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS