Ketua Menteri hasrat bekerjasama dengan SPR bagi merancakkan lagi daftar pemilih

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri Pulau Pinang, Raveendran Nair dekat pejabatnya di Komtar.

Pertemuan ringkas tertutup selama 45 minit itu antara lain membincangkan mengenai pembaharuan yang bakal dilaksanakan oleh SPR Malaysia dalam menghadapi pilihan raya di masa hadapan.

Ini termasuk penambahbaikan perkhidmatan dalam sistem pendaftaran pemilih yang dilaksanakan sepanjang tahun oleh SPR.

Selain itu, turut dibangkitkan adalah isu-isu pilihan raya semasa di Malaysia, pilihan raya bagi Kerajaan Tempatan serta program-program outreach yang dianjurkan oleh SPR seluruh Malaysia.

Dalam pertemuan itu juga, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan pihak SPR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Malah, beliau juga berhasrat untuk bekerjasama dengan SPR bagi merancakkan lagi pendaftaran pemilih yang masih culas mendaftarkan diri sebagai pengundi di negeri ini.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar turut sama pada pertemuan tersebut.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN