Ketua Menteri ingatkan tanggungjawab berat bakal digalas semua Ahli Majlis

Admin

SEBERANG JAYA – Seramai 24 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang baru dilantik bagi tahun 2020 melafazkan ikrar angkat sumpah jawatan secara rasmi hari ini.

Lafaz penerimaan jawatan tersebut dibuat di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Antara muka-muka baru yang dilantik sebagai Ahli Majlis MBSP bagi tahun 2020.

Kon Yeow dalam ucapannya berkata bahawa peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama Kerajaan Negeri serta agensi-agensi kerajaan yang lain adalah amat penting sejak 2008 sehingga membolehkan Pulau Pinang mencapai pelbagai kejayaan membanggakan sama ada di peringkat negeri mahupun antarabangsa.

“Walaupun kita (Pulau Pinang) cuma ada dua PBT, tetapi kita telah menunjukkan prestasi yang baik dan selalu mendapat pujian daripada rakan-rakan (PBT) di negeri-negeri lain apabila kita ke peringkat kebangsaan.

“Justeru, pada kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar serta Ahli-Ahli Majlis yang telah berkhidmat sejak 2008 kerana memberikan kepimpinan yang begitu bervisi demi membawa Seberang Perai ke arah bandar raya yang mampan, hijau dan pintar,” ujarnya pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBSP dekat Menara Bandaraya di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri turut melancarkan Pelan Tindakan Low Carbon City dan Pelan Tindakan Climate Change selepas selesai menyaksikan upacara angkat sumpah menerimaan jawatan Ahli Majli Majlis bagi MBSP.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Jagdeep Singh Deo (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa); Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan); Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar) dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd. Ali Sebran; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod antara yang turut serta pada majlis lafaz terima jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, Kon Yeow juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi mengingatkan bahawa setiap Ahli Majlis yang dilantik mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membawa kesejahteraan kepada masyarakat di negeri ini.

“Dengan segala pelan dan perancangan yang telah disusun, saya pasti dan percaya semua Ahli Majlis yang dipilih tidak mempunyai masa untuk ‘honeymoon’, sebaliknya terus maju ke hadapan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.

“Segala permasalahan dan perkara berbangkit yang dikemukakan oleh rakyat perlu diselesaikan dalam kadar segera.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua Ahli Majlis untuk memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya terhadap pengurusan MBSP terutamanya melibatkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan,” tegasnya.

Seusai majlis tersebut, Kon Yeow turut berkesempatan melancarkan Pelan Tindakan Low Carbon City dan Pelan Tindakan Climate Change yang bakal menjadi garis panduan kepada MBSP untuk mencapai status Bandaraya Rendah Karbon menjelang 2022.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Gambar : CHAN KOK KUAN