Ketua Menteri jawab isu ‘tabung simpanan’ Kerajaan Negeri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menjelaskan bahawa simpanan terkumpul negeri pada tahun 2020 adalah berjumlah RM1.82 bilion dan bukannya RM888.0 juta.

Beliau berkata, jumlah RM888.0 juta yang dipersoalkan adalah hanya mengambil kira Akaun Hasil Disatukan dan belum mengambil kira Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM933.68 juta pada tahun 2020.

“Saya ingin jelaskan di sini bahawa terdapat sedikit kekeliruan berkaitan penyataan tersebut (yang mana) perbandingan ini tidak dilakukan secara ‘apple to apple’ (dengan izin).

“Oleh itu, adalah ditekankan bahawa simpanan terkumpul negeri hanya berkurang daripada RM2.10 bilion pada tahun 2019 kepada RM1.82 bilion pada tahun 2020.

“Ini bermakna baki di bawah Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2020 hanya berkurang sebanyak berjumlah RM149.42 juta sahaja berbanding tahun 2018,” katanya dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini sebentar tadi.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng yang meminta penjelasan berhubung Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2.0 bilion pada tahun 2018, namun telah menurun dengan mendadak kepada RM800.0 juta pada akhir tahun 2020.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa peruntukan di bawah Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun 2018 adalah berjumlah RM1.97 bilion dan telah meningkat kepada RM2.1 bilion pada akhir tahun 2019 berdasarkan bajet surplus yang berjaya dicapai pada tahun 2019.

Bagaimanapun, tambah beliau, prestasi yang membanggakan berkaitan tidak dapat diteruskan pada tahun 2020.

“Ini adalah kerana, sama seperti Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri lain, Kerajaan Negeri juga terpaksa bergelut dengan cabaran yang sangat hebat pada tahun 2020 untuk berdepan dengan pandemik COVID-19,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Menurut Kon Yeow, perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2020 adalah tinggi yang mana peruntukan besar telah disediakan di bawah Pakej Bantuan Khas Penang Lawan COVID-19 dengan tujuan untuk terus membantu golongan yang terjejas berikutan pandemik ini.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa hasil Kerajaan Negeri juga telah berkurangan pada tahun 2020, yang mana hanya RM467.28 juta berjaya dikutip berbanding anggaran asal berjumlah RM519.16 juta.

“Oleh yang demikian, Kumpulan Wang Disatukan telah berkurang daripada RM2.1 bilion pada tahun 2019 kepada RM1.82 bilion pada tahun 2020,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan kepada sekalian anggota Dewan Pulau Pinang mengenai tujuan sebenar diwujudkan Kumpulan Wang Disatukan yang merangkumi Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.

“Seperti yang semua sedia maklum, Kumpulan Wang Disatukan ini merangkumi Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan.

“Akaun Amanah Disatukan adalah akaun yang ditubuhkan bagi tujuan khusus dan peruntukan yang diterima di dalam akaun tersebut hanya boleh dibelanjakan bagi tujuan khusus tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kon Yeow memberitahu bahawa baki di bawah Akaun Hasil Disatukan sehingga akhir 2020 adalah berjumlah RM887.78 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM933.68 juta.

“Kerajaan Negeri juga bersikap terbuka dalam mengisytiharkan baki di dalam Kumpulan Wang Disatukan ini,” ujarnya lagi dalam nada sederhana.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN/AHMAD ADIL MUHAMAD