Ketua Menteri kesal, harap mutu pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung ditingkatkan

Admin
KETUA Menteri (kanan sekali) bersama-sama pemimpin Kerajaan Negeri lain petang tadi turut turun padang bagi melihat sendiri operasi menangani baki kawasan yang terbakar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini.

JAWI – Dalam nada kesal mengenai kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung dekat Jalan Byram yang terjadi pada Rabu lepas, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow petang tadi berharap bahawa pihak berkenaan meningkatkan lagi mutu pengurusan di kawasan berkenaan.

Tidak setakat itu sahaja, beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa pentadbirannya akan saling bekerjasama dengan dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan beberapa pihak lain demi menangani risiko pencemaran udara yang dihadapi penduduk sekitar kawasan tersebut.

“Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai telah mengambil keputusan memindah penduduk di dua buah kampung berdekatan kerana masalah pencemaran udara,” jelasnya selepas mengadakan lawatan khas ke tapak berkaitan di sini sebentar tadi.

Turut serta, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Saiful Syarizal Yaakob; Pemangku Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid dan dua Ahlli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dengan diiringi Pegawai Operasi BBP Nibong Tebal, PPgB Noor Asfariza Mohamad Abdul Kadir.

Di samping itu, Kon Yeow turut memberitahu bahawa maklumat lanjut berkaitan isu berbangkit tersebut akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Gambar : CHAN KOK KUAN