Ketua Menteri lancar pelan induk baharu, agresif tarik pelancong domestik ke Pulau Pinang

KETUA Menteri (kiri) dan Yeoh Soon Hin dalam sidang media di sini pada tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini melancarkan Pelan Induk Pelancongan Negeri (PTMP) dengan memberi tumpuan kepada usaha-usaha agresif membawa seramai mungkin pelancong domestik ke Pulau Pinang.

Beliau berharap pelan baharu tersebut akan mempercepatkan lagi proses pemulihan sektor-sektor berkaitan industri pelancongan negeri yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 pada bulan Disember tahun lepas.

“Pelan induk ini bukan hanya untuk Kerajaan Negeri, kita (Pulau Pinang) perlu berbelanja untuk (menjana) pertumbuhan sektor-sektor yang lain juga.

“Maka, ia (PTMP) adalah untuk semua pemegang taruh, semua penggerak industri.

“Saya fikir proses selanjutnya adalah untuk bertemu dengan semua pihak berkepentingan supaya mereka boleh mengambil bahagian untuk merebut peluang ini.

“Justeru, tiap-tiap sektor berkenaan perlu melihat juga kedudukan mereka sendiri (berdasarkan pelan induk pelancongan ini dan bagaimana untuk saling bekerjasama (dengan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi negeri),” jelasnya sejurus Sesi Dialog Awam dan Pelancaran PTMP di sini pada 12 September 2020.

Turut serta, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeow Soon Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT), Ooi Chok Yan.

SUASANA Sesi Dialog Awam dan Pelancaran PTMP di sini pada 12 September 2020.
Dr. Badaruddin Mohamed

Selepas sesi dialog awam berkaitan, menurut Kon Yeow, Soon Hin dengan dibantu oleh Chok Yan bakal membawa pelan induk tersebut untuk dibincangkan dengan para pemegang taruh lain.

Sebelum itu, Kon Yeow diiringi Soon Hin menyertai sesi perbentangan PTMP yang disampaikan oleh wakil firma konsultan, YZD Planning And Consult, Prof. Dr. Badaruddin Mohamed.

Badaruddin memberitahu bahawa Pulau Pinang pada tahun 2019 menerima kira-kira 9.48 juta, iaitu 52 peratus adalah pelancong asing dan pelancong domestik (48 peratus).

Tambah beliau, 77.2 peratus pelancong domestik lebih daripada sekali berkunjung ke negeri ini, berbanding pelancong asing 20.3 peratus.

Namun, ulas Badaruddin, pandemik COVID-19 yang di luar jangkaan semua pihak telah mengakibatkan jumlah pelancong ke negeri ini menguncup lebih 80 peratus.

Justeru, menerusi PTMP, beliau mencadangkan langkah-langkah kempen menyemarakkan lagi pelancongan domestik sedia ada di tanah air ini dalam menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan utama mereka.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALVIE CHENG