Ketua Menteri perjelas kaedah menghitung 90 peratus pencapaian manifesto PRU14

Admin

GEORGE TOWN – Tidak mengambil kira dua akujanji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan Pulau Pinang sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018 disebabkan ada pertindihan bidang kuasa dengan Kerajaan Persekutuan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa pentadbirannya terus komited untuk menunaikan semua 66 janji berbaki demi meningkatkan kualiti hidup penduduk di negeri ini.

Selepas genap empat tahun, kata Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, pentadbirannya berjaya menunaikan 54 akujanji sementara baki 12 lagi dalam pelbagai peringkat proses pelaksanaan.

“Saya kata 54 (akujanji) sudah ditepati, maksudnya ada 12 (akujanji lain) dalam proses pelaksanaan.

“Dan, dalam 12 manifesto itu adalah dalam beberapa peringkat pelaksanaan – antaranya enam (akujanji) ada komitmen daripada sudut bajet (dan tertakluk) pada perjanjian pun (maka) kita (Kerajaan Negeri) anggap dalam proses (pelaksanaan).

“Daripada 12 (akujanji yang dalam proses pelaksanaan), saya ambil enam (akujanji sahaja), enam campur 54 menyamai 60 dan 60 daripada 66 adalah menyamai 90 peratus pencapaian,” jelasnya semasa sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini pada 3 Jun 2022.

Penjelasan Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu sekali gus menyanggah tuduhan ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin yang menganggap 90 peratus akujanji dalam manifesto Kerajaan Negeri berjaya ditunaikan dalam tempoh empat tahun ini sebagai tindakan mengelirukan dewan dan orang awam.

Dalam celahan sebelum pada itu, Afif memberitahu Kon Yeow bahawa beliau sama sekali tidak mempertikaikan komitmen Kerajaan Negeri hari ini dalam menunaikan semua manifesto pilihan raya, cuma mempersoal pencapaian pada angka 90 peratus tersebut sahaja.

“Yang dibangkitkan di Dewan (Undangan Negeri, DUN) ini adalah angka 90 peratus daripada janji-janji (manifesto) itu telah dilaksanakan dan dicapai, itu yang saya rasa mengelirukan kepada orang awam.

“Sebab, yang saya bangkitkan adalah realiti daripada manifesto itu, sebab sebahagian perkara yang dibangkitkan (antaranya) adalah ulangan dalam Manifesto PRU13 (pada 5 Mei 2013) sahaja.

“Sebagai contoh, (komitmen untuk) menyelesaikan masalah lalu lintas (dalam Manifesto PRU14) ini, ia isu besar yang kita bincang setiap kali (persidangan) Dewan sejak hampir 10 tahun lepas, dan tahap pelaksanaannya tidak capai pun 90 peratus (seperti diumumkan oleh Ketua Menteri).

“Itu, yang saya bangkitkan…untuk menyatakan ‘(saya) memberi komitmen’, semua orang boleh berjanji (sebagaimana dilafazkan oleh) Yang Amat Berhormat Ketua Menteri,” ujarnya yang juga bekas wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kini menyertai Perikatan Nasional (PN).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR