Ketua Menteri puji inisiatif PMK, jayakan visi kerajaan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji inisiatif Persatuan Muslim Kadayanallur (PMK) atas penganjuran program Kongsi Rezeki Kasih Ramadan dalam membawa penghayatan sebenar bulan mulia ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu, PMK merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah berjaya menyuntik nilai-nilai perpaduan antara ummah khasnya sejak  penubuhannya pada tahun 1945.

“PMK sentiasa memperlihatkan aspek perpaduan, pendidikan, keusahawanan dan sosioekonomi sebagai agenda utama pertubuhan dalam menjayakan visi kerajaan.

Misalnya, penganjuran majlis berbuka puasa sebegini sememangnya merupakan instrumen terbaik untuk menyuntik nilai perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.

“Malah, agenda PMK tersebut juga adalah selari dengan Visi Penang2030  yang digagaskan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” ujar Kon Yeow pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Muslim Kadayanallur di perkarangan premis pertubuhan berkenaan dekat Jalan A.S. Mansoor sebentar tadi.

KETUA Menteri meluangkan masa melawat premis Persatuan Muslim Kadayanallur dan merakam kenangan bersama-sama jawatankuasa persatuan berkenaan sebelum majlis bermula.

Hadir sama, Presiden PMK, Sayed Abdullah Abdul Jabbar; Presiden Central Muslim Society (CMS), Hassan Othman; Presiden Persatuan Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Abdul Kader; Timbalan Presiden PMK, Mohd. Noor Mastan; Setiausaha PMK, Zainudin Abdul Rahman dan Bendahari PMK, Abdul Gafoor Othuuman.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng;  Penolong Setiausaha PMK, Abu Hassan Pakeer Mohamed; Pengerusi Biro Agama PMK, Abdul Kuthouss Abdul Majid; ahli-ahli jawatankuasa dan belia  PMK serta wakil-wakil persatuan gabungan antara yang turut serta mengimarahkan majlis berkaitan.

Dalam majlis sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga kini sedang bergerak selari dengan konsep ‘Malaysia Madani’ iaitu sebuah kerangka visi baharu buat negara.

Konsep ini merupakan suatu ikhtiar nirmala yang bersepadu dan bersifat holistik dengan bertunjangkan dasar-dasar berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil serta terangkum.

“Walaupun masih baru, saya percaya konsep yang digagaskan oleh Perdana Menteri Ke-10 ini bakal menjadi tonggak dalam memeta hala tuju Malaysia ke arah sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” jelasnya.

ANTARA tetamu yang tidak mahu melepaskan peluang bersama-sama Ketua Menteri.

Terdahulu, Kon Yeow juga menyorot kembali penglibatan beliau dengan PMK ketika beliau merupakan Ahli Parlimen Tanjong sejak tahun 1999.

“Malah, saya turut berasa terharu kerana saban tahun dapat berada dan bersama-sama kira-kira 200 hadirin di majlis serupa ini bagi meraikan keberkatan bulan Ramadan al-Mubarak,” katanya.

SUASANA majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Muslim Kadayanallur.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar & Video : LAW SUUN TING