Ketua Menteri puji langkah proaktif PDC laksana pelan strategik 2019-2023

Admin
KETUA Menteri (dua dari kiri), Aziz Bakar (dua dari kanan) dan seorang lain mengiringi TYT (tiga dari kiri) menyempurnakan acara menandatangani plak perasmian Pejabat Baharu PDC Properties Sdn. Bhd. di sini, serentak Majlis Sambutan Aidilfitri PDC di sini pada 16 Mei 2023.

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya percaya melalui Pelan Strategik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) 2019-2023 bukan sahaja mampu menjana pulangan kepada agensi negeri tersebut untuk tempoh jangka masa panjang, malah sekali gus mengembangkan potensi ekonomi serta meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk negeri.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri PDC 2023 di sini pada 16 Mei 2023.

“Dengan perancangan strategik PDC yang telah digariskan ini, saya yakin dan percaya projek-projek telah dirancang mampu memberikan pulangan pendapatan yang lebih baik kepada PDC dalam tempoh jangka masa panjang.

“Diharapkan juga dengan perancangan teliti dan kerjasama erat yang diberikan oleh agensi-agensi Kerajaan lain dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan serta perkembangan ekonomi dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan dalam majlis tersebut.

Turut menyerikan majlis, Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor serta isteri kepada Ketua Menteri, Puan Tan Lean Kee yang juga Penaung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Negeri Pulau Pinang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Roslinda Mohd. Shafie dan Exco-Exco Kerajaan Negeri.

Turut berucap pada majlis berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar.

Ditubuhkan pada 1969, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya begitu gembira dengan langkah proaktif PDC dalam meneroka peluang baru sepanjang tempoh tiga tahun pasca krisis ekonomi dek pandemik COVID-19.

Tambah beliau, sepanjang suku pertama tahun 2023 (1Q23), melalui Pelan Strategik PDC 2019-2023 menyaksikan pelbagai strategi dan inisiatif dilaksanakan yang mana fokus utama adalah lebih kepada projek-projek yang dapat menjana pulangan terbaik serta mampan kepada agensi negeri tersebut.

Difahamkan, sehingga kini, PDC telah menerajui pembangunan sembilan kawasan perindustrian negeri yang mana dalam tahun ini termasuk Bandar Cassia Technology Park dan Batu Kawan Industrial Park 3 dengan konsep taman perindustrian berintegrasi seluas kira-kira 673 ekar bagi memenuhi permintaan pelabur yang kian meningkat.

Di samping itu, PDC juga semasa ini meneruskan usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan pelabur utama bagi aktiviti-aktiviti perkhidmatan perniagaan global, penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Usaha PDC itu termasuk melaksanakan fasa pembangunan projek ‘GBS By The Sea’ iaitu iaitu projek GBS ketiga selepas GBS@Mayang dan GBS@Mahsuri.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara difahamkan syarikat semikonduktor, AMD Global Services (M) Sdn. Bhd. akan menjadi salah satu penyewa terbesar dengan menyewa 70 peratus ruang lantai ‘GBS By The Sea’ apabila perkhidmatan perniagaan global tersebut siap sepenuhnya pada tahun 2024.

Serentak itu, Kon Yeow turut memuji keberanian PDC terjun dalam industri tenaga hijau dan pengurusan sisa dengan penubuhan firma subsidiri iaitu Solar Voltech Sdn. Bhd..

“Bagi fasa permulaan, beberapa projek solar yang berpotensi telah dikenal pasti iaitu dengan menumpukan kepada projek pembangunan PDC seperti Motorola Innoplex, SME Bayan Lepas (Plot 105), SME Centre Batu Kawan, GBS@One Mahsuri, GBS@Mayang, PDC Gallery dan Komtar,” ulasnya sambil memuji usaha pentadbiran Aziz dalam merealisasikan Pelan Strategik PDC 2019-2023.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN