Ketua Menteri puji NGO agih bantuan Aidilfitri kepada 210 OKU terpilih

Admin
a6cf2ea9 3876 4648 835a 367ee82b4da4 KETUA Menteri (kanan sekali) menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada salah seorang penerima terpilih dalam majlis berbuka puasa amal berkaitan di sini pada 15 Mac 2024.

GEORGE TOWN – Seramai 150 orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan 60 kanak-kanak OKU terpilih dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Permatang Damar Laut menerima bantuan Aidilfitri dalam majlis khas di sini sebentar tadi.

Majlis tersebut merupakan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji kegigihan pertubuhan berkaitan yang menganjurkan program kebajikan kali ke-8 bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Sebagaimana diketahui umum, Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil merupakan sebuah organisasi yang begitu aktif menganjurkan pelbagai program khasnya bantuan-bantuan kebajikan membabitkan masyarakat setempat, kepada mangsa-mangsa banjir, percambahan sektor pendidikan, agihan bubur sepanjang bulan Ramadan dan juga program bantuan beg sekolah kepada anak-anak yatim terutamanya kumpulan B40 (kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sebentar tadi.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang hari ini tidak pernah menafikan kepentingan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sebagai tulang belakang pembangunan negeri meliputi sektor ekonomi, sosial serta perpaduan sejagat.

Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa pentadbirannya akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk NGO berkaitan bagi menyemarakkan lagi agenda keharmonian komuniti di Pulau Pinang.

Turut berucap, Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying yang juga Timbalan Menteri Kewangan dan Pengerusi Pertubuhan kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Asri Seeni Mohamed.

Hadir sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Haji Haja Najmudeen Kader.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN