Ketua Menteri puji pelajar cemerlang akademik, kegigihan guru harumkan nama sekolah

KETUA Menteri (depan, dua dari kiri) diiringi P. Ramasamy (depan, kiri sekali) menyerakkan cek replika berkaitan kepada Nadiyah Jamain Bakeri (depan, dua dari kanan) sambil diperhati oleh wakil-wakil Sekolah Cemerlang STPM dan SPM lain di Auditorium A, KOMTAR menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meraikan 82 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2020 dari 22 sekolah, serta pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, SPM (276 orang; 41 sekolah) dalam acara Anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Negeri dekat Komtar pagi tadi.

KETUA Menteri

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji kegigihan pelajar serta guru-guru yang berjaya menempa kecemerlangan walau dalam kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR), sekali gus mengharumkan nama sekolah masing-masing.

“Ini, merupakan tahun kedua pengiktirafan kepada para pelajar yang berjaya mencapai tahap cemerlang dalam peperiksaan STPM serta SPM diadakan dalam suasana normal baharu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya dengan rasa bangganya ingin menzahirkan ucapan syabas dan tahniah (kepada semua pihak berkenaan),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada majlis berkaitan di sini pada 24 September 2021.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains & Teknologi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohamad Hanapiah; Penolong Pengarah bagi Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Nadiyah Jamain Bakeri serta wakil-wakil penerima.

NADIYAH Jamain Bakeri

Nadiyah Jamain yang ditemui kemudian memberitahu bahawa penganjuran acara Anugerah Pelajar Cemerlang tersebut sekali gus menunjukkan suatu pengiktirafan kepada guru-guru dan sekolah-sekolah yang terlibat.

“Walaupun kita menghadapi pandemik COVID-19, kita (JPNPP) mendapati pencapaian pelajar mempunyai peningkatan.

“Kelebihan yang ada buat pelajar juga agak terhad (iaitu) sebelum peperiksaan, ada perjumpaan secara bersemuka dengan guru-guru mengikut SOP yang ketat.

“Kebanyakan sekolah termasuk guru-guru juga dipuji kerana bersedia serta cepat menyesuaikan diri dengan normal baharu sesi persekolahan secara hibrid,” ujarnya.

Difahamkan, seramai 62 pelajar cemerlang SPM yang mendapat PNGK 4.0 masing-masing menerima sumbangan penghargaan RM1,000; begitu juga 15 pelajar terbaik mengikut kaum, lima pelajar khas terbaik serta Anugerah Sekolah Terbaik STPM 2020 (tiga sekolah).

Manakala, 271 pelajar cemerlang SPM pula masing-masing mendapat RM500; begitu juga lima pelajar cemerlang khas serta Anugerah Sekolah Terbaik SPM 2020 (tiga sekolah).

Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Confucian muncul sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang STPM 2020; diikuti Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin (tempat kedua) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Lelaki) pada kedudukan ketiga terbaik di negeri ini.

Sekolah Jenis Kebangsaan Jit Sin turut berada pada kedudukan terbaik sebagai Penerima Anugerah Sekolah Cemerlang SPM 2020; diikuti Sekolah Menengah Bukit Jambul (tempat kedua) dan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (tempat ketiga).

Oleh :ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS