Ketua Menteri puji usaha capai Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar MBSP

KETUA Menteri (dua dari kiri) diiringi Jagdeep Singh Deo (kiri sekali) meneliti ‘kad laporan’ setebal 150 muka surat yang disediakan oleh pentadbiran Sr. Rozali Mohamud (kanan sekali) dan Baderul Amin Abd. Hamid (tiga dari kiri) selepas Majlis Pelancaran Buku Pencapaian Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar di Menara Bandaraya MBSP, Seberang Jaya di sini petang tadi (24 Oktober 2021).

 

SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow petang ini memuji usaha pentadbiran Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud menganjurkan pelbagai program demi menjadikan Seberang Perai sebagai Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar pertama negara.

KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan perasmian acara di sini tadi.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Buku Pencapaian Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini.

“Sebagai sebuah organisasi yang berpaksikan rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh MBSP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sangat komited dalam menyediakan platform terbaik untuk mendekati dan memenuhi harapan, kehendak serta keperluan warga penduduk Seberang Perai.

“Diharapkan dengan adanya dokumentasi setebal 150 muka surat yang merekodkan pencapaian dan program-program dilaksanakan bagi mencapai Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar ini, ia akan lebih memudahkan segala perancangan dan bentuk tindakan kepada pembuat dasar, pelaksana serta masyarakat khususnya, dalam mengukur dan menilai setiap usaha dilaksanakan sama ada untuk penambahbaikan ataupun penghargaan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkaitan tadi.

Segala pencapaian serta program yang telah dilaksanakan oleh MBSP itu, menurut Kon Yeow, sekali gus menyerlahkan Visi Penang2030 dengan tema ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ adalah sebuah gagasan pembangunan masa depan negeri yang bersifat realistik dan praktikal.

JAGDEEP Singh Deo

Sebelum itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga ADUN Datuk Keramat turut memuji kejayaan pentadbiran Rozali menganjurkan 25 program di bawah Bandar Rendah karbon dan Bandar Pintar Seberang Perai yang secara nyata adalah inisiatif digital berimpak tinggi.

SR. Rozali Mohamud semasa menyampaikan ucapan alu-aluan tadi turut membentangkan pencapaian 11 penunjuk prestasi utama (KPI) berkaitan yang menjadi antara inti utama dokumen Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar Seberang Perai setebal 150 muka surat, di Menara Bandaraya MBSP.

Bagi Rozali semasa menyampaikan ucapan alu-aluan sekali lagi mengulangi komiten pentadbirannya untuk menjadikan Seberang Perai sebagai Bandar raya Rendah Karbon menjelang tahun 2022; Bandar raya Neutral Karbon pada tahun 2030 dan Bandar raya Sifar Karbon pada 2050.

“Sebanyak 97,981 pokok berjaya ditanam berbanding sasaran pokok pada tahun 2022 (memandangkan) penanaman pokok bagi menyerap karbon dan menghasilkan oksigen.

“Di samping itu, kadar kitar semula Seberang Perai mencapai 55.9 peratus pada tahun 2020 adalah yang tertinggi di Malaysia berbanding 42.6 peratus pada tahun 2016 (di samping) penjanaan sisa pepejal telah berkurang iaitu 1.48 kilogram (kg) per kapita berbanding 1.6 kg per kapita pada tahun 2016.

“Perkhidmatan kaunter siber MBSP juga telah berjaya menyediakan 100 perkhidmatan (secara dalam talian) yang dilancarkan pada 16 Jun 2020, berbanding hanya 11 perkhidmatan yang disediakan pada tahun 2019.

“Sehingga saat ini, MBSP juga komited untuk bekerja bersama-sama bandaraya-bandaraya di seluruh dunia untuk menangani perubahan iklim dan menghadkan pemanasan global pada tahap 1.5 darjah Celcius.

“Dengan semua komitmen yang direkodkan dalam kad laporan MBSP ini, kami merancang untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya terbaik di Malaysia dalam aspek pemuliharaan serta pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana senantiasa menyokong perancangan pada peringkat PBT berkenaan.

Ketua WHIP Parti, P. David Marshel, Ahmad Rizal Abd. Hamid, Muhamad Suzuki Ahmad; barisan Ahli Majlis MBSP lain serta Ketua-ketua Jabatan bagi PBT berkenaan turut menyertai acara tersebut yang dilangsungkan secara hibrid mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD