Ketua Menteri puji usaha MBSP pulihara, pelihara Sungai Perai

Admin
KETUA Menteri (kanan sekali) dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain diberi taklimat ringkas oleh seorang pegawai MBSP mengenai cadangan projek naik taraf kawasan lapang di sekitar Taman Inderawasih dan Taman Kimsar, Perai pada 4 Mac 2023.

PERAI – Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membelanjakan RM440,000 bagi menaik taraf kawasan lapang berhampiran Taman Inderawasih dan Taman Kimsar di sini.

KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa cadangan menaik taraf laluan pejalan kaki dan trek berbasikal sepanjang 300 meter (m) berkaitan akan menambahkan lagi daya tarikan pada keindahan alam semulajadi dan ekologi Sungai Perai di sini, apabila fasa projek tersebut siap sepenuhnya pada 16 April ini.

“Di sepanjang Sungai Perai ini, telah kita (Kerajaan Negeri melalui MBSP) lakukan inisiatif projek-projek (berkaitan) alam sekitar dan ekologi misalnya Laman Hijauan Perai, Taman Rekreasi Tamab Tunku (Seberang Jaya), Taman Rekreasi Awam Sembilang (Seberang Jaya) dan Taman Bandar.

“Justeru, saya merasakan (majlis pecah tanah projek naik taraf kawasan lapang pada pagi ini) suatu permulaan yang baik,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi semasa merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut di sini pada 4 Mac 2023.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Baderul Amin Abdul Wahab dan beberapa Ahli Majlis bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

KETUA Menteri sendiri menyempurnakan acara gimik Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Kawasan Lapang Berhampiran Taman Inderawasih dan Taman Kimsar, Perai pada 4 Februari 2023.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap ADUN Padang Kota turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana memberi peruntukan kepada MBSP bagi menjayakan fasa projek tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan Think City Sdn. Bhd. (Think City) sebelum ini pernah melaksanakan kajian mengenai Sungai Perai.

“‘Mungkin satu langkah seterusnya adalah menjemput Think City untuk membentangkan hasil daripada kajian berkenaan dan kongsikan hasilnya dengan MBSP dan semua pemegang taruh di sekitar Seberang Perai ini untuk melihat bagaimana kita dapat menambah baik ataupun melihat bagaimana nilai semulajadi Sungai Perai dapat diuruskan dengan sebaiknya kepada kehidupan kita.

Menurut Kon Yeow lagi, sangat besar harapan buat MBSP untuk menggunakan apa jua cara bagi mendapatkan peruntukan untuk melaksanakan kerja-kerja memulihara dan memelihara Sungai Perai ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) pun berharap MBSP menggunakan apa juga saluran untuk mendapatkan peruntukan supaya projek-projek ekologi di sepanjang Sungai Perai ini dapat dilaksanakan untuk membawa manfaat kepada rakyat negeri Pulau Pinang sendiri.

“Walaupun ini akan menjadi suatu projek pelancongan ekologi yang baik, tetapi akhirnya kita mahu rakyat kita sendiri dapat menikmati suatu mutu hidup yang lebih baik,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD