Ketua Menteri puji usaha membenarkan surau terpilih mengadakan Solat Jumaat

Admin
KETUA Menteri berucap sebelum majlis berbuka puasa di Surau Al Marjan bersama-sama ahli kariah setempat PPR Taman Manggis di sini pada 15 April 2023.

GEORGE TOWN – Usaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) merancang pembangunan masjid baharu serta membenarkan surau-surau terpilih mengadakan Solat Jumaat dengan mengambil kira peningkatan populasi umat Islam setempat wajar dipuji.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merakamkan penghargaan kepada kedua-dua istitusi berkenaan kerana memberi tauliah kepada Surau Al Marjan untuk ahli kariah di sini mengadakan Solat Jumaat.

“Di Pulau Pinang, dalam lawatan saya di kebanyakan masjid dan surau tempatan didapati menghadapi kekangan daripada segi ruang (untuk mengadakan Solat Jumaat) kerana peningkatan (populasi penduduk lokal), justeru ada perlunya pembinaan (masjid serta surau) dirancang oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan MAINPP sebelum dilaksanakan.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada pihak pentadbir Surau Al Marjan yang telah menerima tauliah sebagai masjid.

“Walaupun ruangnya (Surau Al Marjan) adalah sama, tetapi ia dapat memudahkan ahli kariah di sini menunaikan sembahyang Jumaat,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama-Sama Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini pada 15 April 2023.

KETUA Menteri (tiga dari kiri) diiringi Lim Hui Ying (dua dari kiri) menyaksikan majlis agihan bantuan sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada salah seorang asnaf terpilih di perkarangan Surau Al Marjan Taman Manggis di sini pada 15 April 2023.

Berucap pada majlis sama, Ahli Parlimen Tanjong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying turut memuji Zakat Pulau Pinang (ZPP) kerana turut mengadakan program pengagihan bantuan sumbangan kepada 15 asnaf terpilih peringkat Kariah Taman Manggis dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM9,200 daripada sumber zakat.

Bagi beliau, majlis berbuka puasa yang dianjurkan serentak dengan acara agihan bantuan sumbangan tersebut dapat meningkatkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat yang berbilang kaum.

Pengerusi Masjid Jamek Al Marjan, Osman Mydin; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Transfer/Argyll, Mak Tong Lee dan ‘Ustaz Faizal’ (Imam Masjid Jamek Al Marjan) turut serta dwi majlis tersebut.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dalam kenyataan pada 2 April lepas antara lain berkata bahawa pentadbirannya dalam Bajet 2023 Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan berjumlah RM18 juta bagi pembinaan tujuh masjid baharu termasuk Masjid Bandaraya Seberang Perai dekat Bandar Cassia di sini.

Beliau berharap cadangan pemajuan Majlis Bandaraya Seberang Perai tersebut dapat disegerakan bagi memenuhi keperluan umat Islam yang kian meningkat di sana, terutama semasa mengadakan Solat Jumaat.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS