Ketua Menteri puji usaha Persatuan Nurul Islam bina pusat pembangunan masyarakat Islam

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya senantiasa memberi sokongan terhadap usaha Persatuan Nurul Islam Pulau Pinang sejak lebih sedekad lepas berhubung projek pembinaan sebuah bangunan enam tingkat di atas tanah wakaf dekat Lorong Popus di sini.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata demikian dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan di Dewan Alam Indan, Jalan Hutton pada 27 Mei 2022.

“Beberapa bulan dahulu, Datuk Dr. Shek Daud Hamid (Persatuan Wakaf Persatuan Nurul Islam Pulau Pinang) ada berjumpa saya sekali lagi dan memaklumkan proses tersebut telah hampir matang dan berhasrat memohon kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Jadi, marilah bersama-sama kita menantikan proses permohonan kebenaran merancang yang akan dibentangkan melalui proses kelulusan, yang mana kita tidak sabar untuk melihat impian mereka ini direalisasikan tidak lama lagi.

“Ini adalah bagi tujuan pendidikan dan kemasyarakatan Islam khususnya di bandar raya ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum itu, Shek Daud memberitahu bahawa pihaknya berhasrat untuk memohon bantuan sumbangan kira-kira RM100,000 lagi untuk menampung projek pembinaan bangunan tersebut.

Ahli Majlis MBPP, Dato’ Dr. Shahul Hameed Bin Syed Mohamed turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyerahkan cek replika bernilai RM16,000 kepada NGO berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN