Ketua Menteri sambut Aidilfitri bersama-sama ‘keluarga besar’ Balai Polis Datuk Keramat

Admin

GEORGE TOWN – Sungguhpun dihambat dengan jadual pentadbiran yang agak padat, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada lewat petang tadi sempat meluangkan masa hampir sejam dengan menyertai Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan di perkarangan Balai Polis Datuk Keramat di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri dan dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed serta Wong Yuee Harng antara pemimpin Kerajaan Negeri yang turut hadir pada majlis yang dianjurkan secara sederhana mengikur prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

Pada majlis sama, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong turut menyempurnakan acara cabutan bertuah serta menyampaikan hadiah penghargaan kepada beberapa tetamu bertuah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong yang berucap selepas itu antara lain merakamkan penghargaan kepada Ketua Balai Polis (OCS) Datuk Keramat, Inspektor A. Ganthan atas kejayaan sekalian anggota yang terlibat dalam penganjuran berkaitan.

“Syabas kepada OCS kerana berjaya menganjurkan majlis ini bagi meraikan sekalian anggota dan keluarga tanpa mengira kaum dan bangsa atas semangat ukhuwah, setelah hampir dua tahun tidak ada majlis seumpama ini (akibat pandemik COVID-19),” jelasnya sebelum menyampaikan ‘angpau raya’ kepada sekalian anak-anak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Kambing golek, sate, ketupat, lemang, nasi merah, ayam sambal masak merah, ‘laksa Penang’ antara juadah menarik yang disajikan secara bufet.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING