KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyambut baik cadangan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk membawa Projek Dapur Digital (Cloud Kitchen) ke negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif yang bertujuan memperkasakan komuniti B40, khususnya ibu tunggal dan belia melalui inovasi ekonomi digital itu boleh menjadi pelengkap kepada pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan di negeri ini.
Menurut beliau, program tersebut akan diperluaskan ke Pulau Pinang dan lain-lain negeri selepas melihat kepada impak positif pelaksanaannya di 10 lokasi Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebelum ini.







“Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk memperluas program ini daripada 10 lokasi kepada 15 lagi lokasi iaitu di luar Wilayah Persekutuan pula.
“Saya difahamkan bahawa Pulau Pinang akan diperuntukkan satu Dapur Digital, dan kita (Kerajaan Negeri) sedang menunggu pihak berwajib untuk melaksanakan apa yang perlu.
“Selepas itu, barulah Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan akan bekerjasama dengan Dapur Digital untuk memperluaskan lagi program ini ke lebih banyak lokasi di negeri Pulau Pinang,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Dapur Digital dekat Projek Perumahan (PPR) Ampang Hiliran dekat sini sebentar tadi.
Kon Yeow menyatakan bahawa perkara paling penting adalah hasil daripada pelaksanaan inisiatif tersebut kelak mampu memperkasakan komuniti dan meningkatkan pendapatan golongan yang disasarkan.
“Selain itu, inisiatif ini juga mampu memberi peluang kepada golongan sasaran uttuk menjana pendapatan bagi menyara keluarga, dan saya percaya di antara mereka yang terlibat akan memimpin mengikut kepakaran masing-masing.
“Mungkin mereka yang lebih berpengalaman boleh menjalinkan usahasama dengan restoran-restoran atau kedai jahitan supaya lebih ramai lagi dapat menyertai program ini,” ujarnya.
Ditanya mengenai cadangan lokasi, Kon Yeow memberitahu bahawa perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak pelaksana untuk menentukan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang bersesuaian untuk pelaksanaan inisiatif tersebut.
“Melihat ke hadapan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadi rakan kolaborasi bagi pelaksanaan inisiatif ini supaya lebih banyak Dapur Digital diwujudkan di kawasan-kawasan komuniti yang bersesuaian,” ulasnya lanjut.
Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengasas Pepper Labs, Ir. Ts. P. Kuhan; Pengarah Urusan, Pepper Labs, R. Thanaselan; Pengurus Hubungan Komuniti Pepper Labs, Syukur Sharif; Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Mohd. Nor Ibrahim; Timbalan Pengerusi MPP Sub Zon 2, Roslan Mohd. Dom; Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Blok B&C, Mohd. Fuad Abdullah serta Penyelaras Dapur Digital Hiliran Ampang merangkap Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Hiliran Ampang (PITHA), Suzalina Hussein.
Terdahulu, Kon Yeow diberi taklimat mengenai pengoperasian Dapur Digital oleh pihak Pepper Labs, melakukan demonstrasi masakan dan beramah-mesra dengan para peserta Dapur Digital.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS