Ketua Menteri santuni Qaryah Masjid Jamek Alimsah Waley berbuka puasa rai malam 27 Ramadan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkesempatan meluangkan masa hadir ke Majlis Berbuka Puasa anjuran Jawatankuasa Qaryah Masjid Jamek Alimsah Waley dekat Lebuh Chulia tadi.

 

 

Ketibaan beliau disambut mesra oleh Pengerusi Qaryah, Idris Abu Salam dan anak-anak Qaryah Masjid Jamek Alimsah Waley serta pimpinan Muslim tempatan.

 

 

KETUA Menteri merakamkan kenangan bersama-sama Qaryah Masjid Jamek Alimsah Waley dan pimpinan Muslim setempat pada majlis berbuka puasa dekat sini.

Kon Yeow yang ditemani Setiausaha Politik beliau, Teh Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, sempat meluangkan masa menyantuni penduduk di perumahan Wakaf Alimsah Waley yang turut serta mengimarahkan majlis tersebut.

 

Pada kesempatan itu juga, beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat khasnya penduduk setempat.

 

Dalam pada itu, Imam Masjid, Fadhil Ilias ketika ditemui, mewakili penduduk menyatakan bahawa kehadiran Kon Yeow ke majlis tahunan itu menunjukkan komitmen serta kesudian Ahli Parlimen Tanjong itu meraikan umat Islam setempat.

 

Malah, beliau turut memberitahu bahawa penduduk di sini akan terus bekerjasama dan menyokong pentadbiran Kerajaan Negeri kini terutama dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan penduduk.

 

PERSIAPAN berbuka puasa dilakukan secara gotong-royong.

Kurma kambing, dalca sayur dan ayam masak merah antara juadah istimewa yang dihidangkan bersama-sama teh tarik wangi serta manisan.

 

Difahamkan, majlis berbuka puasa itu merupakan majlis tahunan yang diadakan oleh Qaryah Masjid Jamek Alimsah Waley sempena meraikan malam 27 Ramadan setiap tahun, dan Kon Yeow menghadirinya sejak sembilan tahun lalu tanpa putus.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS