Ketua Menteri sertai Persatuan Anjuman Himayathul Islam agih 400 bungkusan bubur lambuk sempena Ramadan

Admin
9807614c 4e29 4fb9 aacf 38dec8fa7d86 KETUA Menteri (berbaju putih) turut menyertai acara agihan bubur lambuk yang dianjurkan oleh Persatuan Anjuman Himayathul Islam di kompleksnya dekat Lebuh Chulia pada 12 Mac 2024.

GEORGE TOWN – Meneruskan tradisi serta ibadah sempena sambutan bulan Ramadan, Ketua Menteri bersama-sama Persatuan Anjuman Himayathul Islam mengagihkan kira-kira 400 bungkusan bubur lambuk kepada komuniti setempat yang rata-rata beragama Islam sebentar tadi.

Timbalan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan, Dato’ Dastagir Mohd. Yassin merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kerana meluangkan masa menyertai acara komuniti tersebut di sini.

“Ini, merupakan tahun kelima penganjuran edaran bungkusan bubur lambuk sepanjang sambutan bulan Ramadan.

“Sungguhpun kami tahu Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mempunyai jadual padat sepanjang bulan puasa ini, terima kasih kerana dapat mengesahkan kehadiran pada saat akhir bagi menjayakan acara tradisi dan ibadah ini,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di sini pada 12 Mac 2024.

Selain Dastagir, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut meluangkan masa menyantuni Presiden Persatuan Anjuman Himayathul Islam, Dato’ Kader Haja Mydin; Khairuddin Kader (Naib Presiden) serta sekalian barisan pemimpin NGO berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN