Ketua Menteri seru rakyat salur aduan, interaksi dua hala perkukuh penyelesaian isu berbangkit

Admin
img 20260411 wa0060

KEPALA BATAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggesa rakyat negeri ini agar tidak berasa malu atau segan untuk mengemukakan sebarang permasalahan yang dihadapi kepada pihak Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, terdapat pelbagai saluran yang disediakan bagi membolehkan rakyat menyalurkan aduan, bermula daripada peringkat akar umbi seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pemimpin parti (Kerajaan Perpaduan), Ahli Majlis sehinggalah kepada barisan Ahli Exco, menteri dan Ketua Menteri sendiri.

“Bukan setiap hari Ketua Menteri boleh turun ke semua lokasi, namun melalui organisasi akar umbi, kita (Kerajaan Negeri) sentiasa bersedia menerima dan memberi perhatian terhadap apa juga isu yang dibangkitkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita usai mengadakan Jelajah Ketua Menteri ke Kawasan Parlimen Kepala Batas dekat Pasar Pagi Kepala Batas, di sini sebentar tadi.

img 20260411 wa0059img 20260411 wa0040

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim Chee Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican; ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng; Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng serta Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi, Teh Chuann Yien dan K. Yoganraj Thever.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa interaksi dua hala antara rakyat dan Kerajaan Negeri adalah kunci utama dalam memastikan setiap permasalahan dapat ditangani dengan berkesan.

Sebagai contoh, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri sebelum ini berjaya menyelesaikan isu pemilikan tanah yang berlarutan sekian lama melibatkan beberapa rumah dan lot kedai di kawasan tersebut.

“Isunya premis-premis berkenaan berada di bawah satu lot besar walaupun pemilik telah menduduki hartanah masing-masing sejak berpuluh tahun kerana mereka mempunyai rumah tetapi tiada geran individu.

“Namun, selepas isu ini dibawa oleh saudara Lay Hock Peng dan seterusnya kepada saya, maka kita berjaya mencari penyelesaian yang mana walaupun bukan sempurna tetapi sekurang-kurangnya pemilik kini mempunyai geran yang sah,” jelasnya.

Tambah beliau, kejayaan tersebut membuktikan bahawa komunikasi berterusan antara rakyat dan Kerajaan Negeri mampu menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak.

img 20260411 wa0057img 20260411 wa0051img 20260411 wa0039

Sehubungan itu, Kon Yeow menyeru rakyat agar tampil ke hadapan dan memainkan peranan aktif dalam menyuarakan isu yang dihadapi.

“Kita mahu rakyat terus berinteraksi dengan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri bukan ‘Superman’ yang boleh tahu semua masalah dalam satu masa, justeru kerjasama dan maklum balas daripada rakyat amat penting supaya setiap isu dapat kita teliti dan ditangani dengan sewajarnya,” ujarnya.

Sementara itu, Chee Keong menyatakan bahawa program tersebut merupakan sebahagian daripada siri jelajah yang telah diadakan di beberapa pasar di seluruh negeri, dengan edisi kali ini berlangsung di kawasan Bertam, Kepala Batas.

“Tujuan utama jelajah ini adalah untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat, mendengar sendiri isu-isu yang mereka hadapi serta melihat keadaan sebenar di lapangan bersama barisan pemimpin Kerajaan Negeri, sama ada pada peringkat negeri mahupun Persekutuan.

“Melalui interaksi ini, kita juga berpeluang memberikan penjelasan mengenai isu-isu semasa seperti harga minyak serta dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

img 20260411 wa0035img 20260411 wa0048img 20260411 wa0055

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya turut mengambil kesempatan mempromosikan amalan lestari dengan mengedarkan beg guna semula kepada orang ramai, selaras dengan dasar hijau yang dilaksanakan di Pulau Pinang.

Chee Keong menambah, pendekatan turun padang tersebut bukan sahaja membolehkan pemimpin mendengar pandangan rakyat, malah memberi ruang untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan secara terus.

“Interaksi seperti ini amat baik kerana berjaya mewujudkan komunikasi dua hala.

“Kita bukan sahaja mendengar suara rakyat, tetapi juga dapat memberikan penjelasan serta menjawab soalan mereka secara terus.

“Malah, ada dalam kalangan rakyat yang menyatakan mereka jarang ke Pulau Pinang (pulau), justeru program seperti ini membolehkan pemimpin turun sendiri ke kawasan seperti Kepala Batas dan kawasan luar bandar untuk mendengar pandangan mereka,” ujarnya.

Dalam pada Hock Peng turut menyeru masyarakat, khususnya di kawasan Kepala Batas dan kawasan luar bandar supaya terus menyalurkan sebarang aduan atau permasalahan kepada wakil rakyat dan saluran yang disediakan.

Beliau memberitahu bahawa pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan rakyat selaras dengan komitmen perkhidmatan kepada masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Menteri, Steven Sim Chee Keong dan ADUN Bertam, Dato” Seri Reezal Merican Naina Merican serta semua pihak yang bersama-sama turun padang bertemu rakyat di kawasan ini.

“Kita mengalu-alukan penduduk di Kepala Batas dan kawasan luar bandar untuk menghubungi kami sekiranya mempunyai sebarang masalah.

“Mereka juga boleh berhubung dengan MPKK atau pejabat DAP Cawangan Kepala Batas,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai saluran disediakan bagi memastikan setiap aduan dapat disampaikan dan ditangani dengan berkesan, termasuk melalui Ahli Majlis dan wakil-wakil pada peringkat komuniti.

“Di kawasan ini, kita mempunyai 10 MPKK di bawah pengurusan Pejabat Pegawai Khas Ketua Menteri yang sentiasa bersedia membantu rakyat.

“Slogan kita adalah sentiasa bersedia berkhidmat di luar bandar, justeru jika terdapat sebarang kekurangan atau isu, penduduk boleh terus menghubungi mana-mana saluran yang ada,” ulasnya lanjut.

Tambah Hock Peng, pendekatan turun padang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri membuktikan kesungguhan pimpinan dalam mendengar sendiri permasalahan rakyat di lapangan.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri yang sentiasa komited turun padang untuk mendengar masalah rakyat.

“Pintu kami sentiasa terbuka, sama ada untuk mesyuarat, aduan atau sebarang perbincangan bersama penduduk,” ujarnya.

Reezal Merican turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kerana sentiasa memberi perhatian terhadap setiap permasalahan yang dijadapi oleh penduduk Kepala Batas, khususnya di Bertam.

Menurutnya, kehadiran pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan dalam program turun padang disifatkan sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mendengar serta menyelesaikan isu rakyat.

“kita cukup bertuah menerima kehadiran dua pemimpin besar iaitu Menteri Persekutuan dan Ketua Menteri.

“Kedua-dua pemimpin ini sememangnya dikenali sebagai individu yang sentiasa mendengar suara rakyat dan berusaha menyelesaikan isu yang dibangkitkan,” kata beliau.

Menurut Reezal Merican, kawasan tersebut sebelum ini turut menerima pelbagai bentuk bantuan hasil keprihatinan kedua-dua pemimpin berkenaan, termasuk ketika Chee Keong menerajui Kementerian Sumber Manusia.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa pendekatan turun padang memberi peluang kepada pemimpin untuk melihat sendiri keadaan sebenar rakyat.

“Apabila rakyat berdepan kesusahan, ia tidak dapat disembunyikan dan dapat dilihat melalui riak wajah mereka, dan ini memberi gambaran jelas kepada pemimpin tentang situasi sebenar yang dihadapi.

“Berbanding hanya mendengar pandangan secara formal, turun padang membolehkan pemimpin menilai keadaan secara langsung dan memahami keperluan rakyat dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan atas komitmen berterusan dalam membantu dan membela nasib rakyat di kawasan berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video: SITI NURATIKAH RAHMAT