BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap sekalian rakyat yang berbilang kaum akan terus menunjukkan semangat patriotisme dengan memasang Jalur Gemilang, meskipun berlaku insiden yang tak diingini di kawasan Parlimen Kepala Batas baru-baru ini.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian seusai menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Sambutan Bulan Kemerdekaan Paringkat Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor di sini pada 23 Ogos 2025.
“Saya masih percaya tak ada orang mahu melakukan (aktiviti memasang bendera Jalur Gemilang ‘terbalik’) dengan sengaja ataupun dengan niat jahat.
“Jadi, kita (mesti terus) menunjukkan semangat dan cinta negara dengan memasang Jalur Gemilang dengan cara yang terbaik,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Sebelum ini, Kon Yeow menyatakan bahawa inisiatif Pejabat Penyelaras Khas Ketua Menteri Pulau Pinang menganjurkan sebuah karnival yang lebih meriah sempena menyambut Bulan Kemerdekaan membuktikan semangat kebangsaan dalam kalangan jawatankuasa penganjur adalah tidak pernah padam serta terus semarakkan perasaan cintakan tanah air dalam kalangan komuniti setempat.
Sementara itu, Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng dalam ucapannya memberitahu bahawa tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada 10 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor, tidak mungkin dapat dianjurkan acara karnival selama sehari sehingga 10 malam nanti.
Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Badrul Amin Abdul Hamid dan Dato’ Ahmad Darus iaitu wakil kepada ADUN Bertam, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican antara pemimpin yang hadir pada majlis perasmian karnival tersebut tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD