Ketua Menteri sumbang 10,000 pelitup muka kepada penduduk SPU

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melalui Pejabat Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas menyumbangkan 10,000 unit pelitup muka kepada penduduk di Seberang Perai Utara (SPU).

Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata, ekoran peningkatan kes positif COVID-19 secara mendadak di negara ini sejak beberapa hari lalu, proses agihan pelitup muka kepada penduduk akan dilakukan secepat mungkin.

“Sejak dua hari lepas kita mula edar pelitup muka ke empat kawasan tumpuan orang ramai iaitu Pasar Awam Bertam, Pasar Awam Kepala Batas, Pasar Awam Penaga dan Pasar Nelayan Penaga.

Pelitup muka sumbangan Ketua Menteri yang akan diedarkan kepada penduduk.

“Setiap penduduk akan menerima tiga keping pelitup muka dan sekiranya masih belum mencukupi mereka boleh datang sendiri ke pejabat (Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas) untuk mendapatkannya.

“Kita anggarkan semua pelitup muka ini habis diedar dalam masa seminggu,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui semalam.

Tambah Hock Peng, pihaknya turut memberi tumpuan kepada pelajar sekolah terutamanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Janggus yang mana salah seorang guru di sekolah itu dilaporkan positif COVID-19.

“Minggu depan kita rancang untuk edarkan pelitup muka kepada pelajar di SK Permatang Janggus tetapi kita hanya edarkan di luar pagar sekolah demi keselamatan murid-murid,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa tahap kesedaran penduduk mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terutamanya pemakaian pelitup muka dalam kalangan masyarakat kini semakin meningkat.

“Kebanyakan penduduk sedar bahawa pemakaian pelitup muka adalah wajib. Jadi, ada dalam kalangan penduduk yang datang sendiri ke sini untuk mendapatkan bekalan pelitup muka.

“Justeru, kita harap selain bantuan Kerajaan Negeri pihak swasta juga boleh menyumbang pelitup muka untuk diedarkan kepada penduduk di seluruh SPU,” ujarnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF