Ketua Menteri sumbang pelitup muka kepada pengamal media

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menyerahkan sumbangan sebanyak 250 kotak pelitup muka kepada para pengamal media di Pulau Pinang yang bertugas sepanjang tempoh wabak COVID-19 ini.

Sebanyak 25 agensi media seperti BERNAMA, RTM, TV3, Astro Awani, Guang Ming Daily, Sin Chew Daily, NSTP, The Star, The Sun, Malay Mail, Malaysian Insight, Pocket News, Kwong Wah Yit Poh, Makkal Osai antara yang tersenarai sebagai penerima sumbangan.

TEH Lai Heng (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada salah seorang pengamal media di Komtar, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng yang mewakili Ketua Menteri memaklumkan bahawa penyerahan sumbangan itu adalah bagi menghargai para pengamal media yang merupakan barisan hadapan dalam menjalankan tugas dengan laporan-laporan berita harian.

“Para pengamal media merupakan barisan hadapan dalam menyebar dan menyampaikan maklumat kepada rakyat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“(Dan) sumbangan ini adalah sebagai menghargai pengorbanan mereka,” katanya yang ditemui sejurus menyerahkan sumbangan kepada wakil berkaitan di Komtar hari ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN / ALVIE