Ketua Menteri sumbang RM50,000, bantu bina balai baharu Bomba Sukarela Taman Sukun

Admin
KETUA Menteri (kanan sekali) menerima penghargaan selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Tapak Projek Pemajuan Balai Baharu Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam di sini pada 31 Julai 2022.

MACHANG BUBUK – Sekian lama balai sedia ada sering kali dilanda banjir, kini sekalian anggota Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam boleh menarik nafas lega kerana tidak lama lagi akan mempunyai balai yang baharu.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow turut mengumumkan sumbangan sejumlah RM50,000 untuk membantu Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam bagi membina balai bomba yang baharu di sini.

Malah, beliau turut berharap lebih ramai individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat tampil menghulurkan sumbangan memandangkan kos pembinaan balai bomba baharu yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM350,000 adalah tidak mencukupi lagi.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM50,000 untuk membantu Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam bagi membina balai yang baharu.

“Sumbangan ini adalah amat penting bagi memudahkan kelancaran projek pembinaan ini, sekali gus meningkatkan kecekapan pasukan ketika menjalankan tugas-tugas secara sukarela demi menjaga rakyat yang tinggal dalam kawasan Bukit Mertajam ini khususnya dan Daerah Seberang Perai amnya.

“Sumbangan kelompok ini sememangnya tidak dapat dinafikan (yang mana) dengan adanya pasukan bomba sukarela peringkat komuniti, mereka senantiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang menghadapi kesulitan terutama apabila berlakunya kebakaran,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi projek berkenaan di Taman Sukun dekat sini pada 31 Julai 2022.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang telah bersetuju menyewakan tanah untuk tujuan pembinaan balai bomba baharu tersebut, dengan bayaran hanya RM112 setahun.

Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yang juga Penasihat Persatuan Bomba Sukarela Negeri Pulau Pinang; ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Kawasan Bukit Mertajam Seberang Perai Tengah, Datuk Lee See Nee turut berucap pada majlis sama.

Hadir sama, ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; ADUN Berapit, Heng Lee Lee; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Penolong Pengarah Bahagian Kebombaan dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, Tuan Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin; Penolong Kanan Penguasa Bomba Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, Tuan Yuhannas Faizal Othman; Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Mohamad Shahir Samsudin; Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam, Loh Choon Chuan dan Pengerusi Persatuan Bomba Sukarela Taman Sukun Bukit Mertajam, Loh Soon Lee.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD